Perak Hari Ini

Zambry Tak Pinggir Mana-Mana Rakyat : Rashidi Nafi Dakwaan Aziz Bari

LEKIR: Warga Perak diyakini lebih mengenali dan mengetahui gerak kerja Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam membangunkan negeri dan membela rakyat berbanding pihak-pihak luar yang hanya datang pada masa-masa tertentu sahaja.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Rashidi Ibrahim berkata, Zambry bukan sahaja memberi pembelaan kepada penyokong Barisan Nasional (BN) sebaliknya kesemua rakyat tanpa mengira latar belakang pandangan politik berpeluang merasai kesejahteraan dibawah pentadbiran Menteri Besar.

“Selama Zambry menjadi Menteri Besar saya lihat beliau tidak meminggirkan mana-mana pihak, sedangkan Pelan Gagasan Perak Amanjaya yang telah dilaksanakan itu pun meletakkan gagasan ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’ sebagai perkara utama,” katanya.

Calon BN dalam Pilihanraya Umun Ke-14 (PRU14) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan calon DAP di kerusi DUN Tebing Tinggi, Prof Dr. Abdul Aziz Bari yang mengkritik pentadbiran Zambry di Perak.

Ujar Rashidi, ‘orang luar’ seperti Abdul Aziz seharusnya membuat penilaian semula terhadap dakwaannya kerana usaha membangunkan negeri Perak bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan, malah ianya, diakui di peringkat antarabangsa.

“Dalam proses berkempen ini macam-macamlah perkara yang disebut tetapi saya yakin rakyat Perak lebih matang dalam membuat penilaian.

“Kita kena faham permainan DAP, yang mempertaruhkan seorang calon Melayu. Tambah pula, Abdul Aziz pun bukan ahli DAP Perak pun.

“Biarlah mereka bermain dengan sentimen-sentimen sebegitu,” jelasnya kepada pemberita dalam satu sesi lawatan beliau bertemu pengundi-pengundi di dalam DUN Pasir Panjang, dekat sini, pada Selasa.

Terdahulu, Abdul Aziz dilaporkan mendakwa Zambry sengaja mengabaikan kebajikan di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang selain mengatakan penduduk di Kampung Paloh, Batu Gajah tidak diberikan hak milik tanah walaupun sudah lama menetap di kawasan tersebut

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");