Perak Hari Ini

Ahmad Faizal Beri Jaminan Tak Ketepi Agenda Perjuangan Melayu

IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri tidak akan sesekali mengenepikan agenda perjuangan bangsa Melayu.

Jelasnya, sebelum beliau memasuki arena politik lagi aspek kebajikan bangsa Melayu dan juga masyarakat daripada kaum lain sentiasa dititikberatkan.

Tegasnya, walaupun kini menjawat jawatan nombor satu di Perak namun sifat dan prinsip dirinya tidak berubah.

“Walaupun logo parti saya daripada ketajaman dua keris, menjadi kepada kecantikan sekuntum bunga, kami tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan orang Melayu.

“Saya bukan seseorang yang mahu mengejar kuasa dan mengenepikan perjuangan orang Melayu.

“Kalau semua yang kenal ‘Peja’ yang pernah berniaga burger di Pekan Razaki, mandi di Sungai Kepayang, dan berjalan merata di Ipoh, saya masih Peja yang sama”, katanya.

Selain itu beliau turut menyeru kepada masyarakat umum untuk menegur dirinya sekiranya terdapat sebarang kepincangan ketika melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar yang baharu dan muda.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Kasih dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Perak, di Dewan Bulan Sabit Merah, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Melayu Perak (PPMP), Kahar Md Yassin.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menyeru agar masyarakat Melayu dapat menyemai perasaan cinta akan bangsa, agama dan negara dengan lebih mendalam.

“Kalau kita sayangkan bangsa, tapi tak pedulikan pendidikan anak-anak kita, biarkan anak-anak kita berpeleseran di merata-rata, membiarkan pemimpin rasuah, jangan kita mengaku kita orang Melayu sejati,” ujarnya.

Beliau juga turut menyeru agar perpaduan masyarakat melayu dan seluruh rakyat, di negara masa kini dapat terus dipereratkan.

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,000 orang tetamu yang terdiri daripada sekitar 50 NGO Melayu seluruh negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");