Perak Hari Ini

Amanah Usul Cadangan Bina Bangunan Baharu Hospital Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Kangsar berhasrat mengusulkan cadangan untuk membina sebuah bangunan baharu bagi Hospital Kuala Kangsar kelak.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata bangunan tersebut bukan sahaja bakal memberikan ruang bagi penambahan sekitar 150 katil malah ianya juga akan menempatkan perkhidmatan doktor-doktor pakar.

Jelasnya, hasrat itu timbul apabila beliau sering menerima keluhan masyarakat setempat yang mengadu terpaksa ke Ipoh ataupun Taiping bagi mendapatkan perkhidamtan tersebut.

“Yang saya cuba usulkan ini ialah mendapatkan pertambahan wad serta katil supaya yang menerima rawatan itu nanti tidak perlu ke Taiping mahupun Ipoh kerana sebagaimana yang sedia maklum di sana sudah agak padat.

“Cadangan ini juga seiring dengan hasrat menteri untuk mengurangkan bebanan tugas-tugas doktor di hospital-hospital besar ini.

“Kita memahami kesulitan keluarga yang ada sehingga terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke Manong,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Ketua dan Pegawai Jabatan Kerajaan Daerah di Dewan Jubli Perak, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri,Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi; Pengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How serta Pengerusi Pakatan Harapan Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi.

Selain itu, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,Multimedia,NGO dan Pembangunan Koperasi berkata, kos terhadap cadangan tersebut akan dibincangkan bersama-sama Kerajaan Persekutuan, menerusi Kementerian Kesihatan.

Tambahnya, dalam tempoh tiga bulan lagi, pihaknya akan mendapatkan perkhidmatan  pakar perunding berhubung cadangan tersebut.

“Berkenaan dengan lokasi bangunan kita sedang cuba untuk mengenalpasti. Kita tengok kawasan Hospital Kuala Kangsar yang sedia ada ini agak luas. Saya fikir mungkin kita boleh memanfaatkannya,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");