Perak Hari Ini

BMLR Rai 45 Anak Yatim, Murid Istimewa Pada Majlis Iftar

GUNONG SEMANGGOL:Jelas terpancar keceriaan pada wajah 45 anak yatim dan murid istimewa apabila mereka diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama warga kerja Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) yang diadakan di Dewan Sebarau, BMLR, semalam.

Kesemua kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan hingga 19 tahun itu merupakan penghuni Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam, Simpang Empat Semanggol serta murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, Parit Buntar yang diundang khas sempena majlis tersebut.

Ketua Operasi Kumpulan Resort, Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan, berkata majlis yang dijadual dilakukan secara tahunan itu merupakan salah satu program kebajikan pihaknya untuk meraikan golongan kurang bernasib baik selain dapat mengeratkan silaturrahim sesama kakitangan.

Katanya bagi umat Islam, berpuasa dan berbuka sepanjang Ramadan bukanlah sekadar memenuhi tuntutan agama malah ia juga menjadi wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kemasyarakatan yang penuh bermakna terutama sewaktu melakukannya beserta ibadah lain secara berjemaah.

“Saya begitu seronok melihat mereka gembira dan teruja setiap kali ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan serta meraikan mereka,” katanya memetik kenyataan media pihaknya hari ini.

Selain disajikan dengan pelbagai hidangan enak, sumbangan duit raya turut disampaikan oleh Mohamad Mukhriz dengan diiringi Pengurus Besar Kanan Kumpulan Resort MK Land Holdings Berhad, Sudhev Sreetharan kepada kanak-kanak dan pelajar terbabit.

Tetamu kenamaan yang hadir, turut berbesar hati menyampaikan sumbangan peribadi berupa duit raya kepada kanak-kanak dan murid-murid istimewa berkenaan.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah dan Tanah Kerian, Mohd Sabli Bakri, dan Pemangku ketua Audit, Integriti, dan Pengurusan Dana KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak), Meor Rezal Fitri Dato’ Haji Meor Redwan.

Selain jamuan makan, turut berlangsung aktiviti kerohanian termasuk acara tahlil dan persembahan akustika nasyid selain disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Mukhriz turut memaklumkan pihaknya bakal mengadakan promosi dengan tawaran istimewa terutama sempena musim perayaan yang bakal tiba bagi memastikan BMLR terus dikunjungi pelancong.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");