Berita Hari Ini

Britain Yakin Kemampuan Malaysia

KUALA LUMPUR: Britain mengekalkan pendiriannya bahawa Malaysia terus satu destinasi pelaburan yang baik, kata Pesuruhjaya Tinggi negara itu ke Malaysia, Vicki Treadell.

Mungkin ketika ini Malaysia seolah-olah mengalami keadaan tidak menentu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa apabila menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), baru-baru ini.

Bagaimanapun, Treadell percaya, keadaan itu hanyalah bagi jangka masa pendek kerana apabila keadaan kembali tenang, iklim pelaburan akan bertambah baik.

“Ada banyak syarikat Britain di sini. Saya telah menemui (pegawai) 24 syarikat utama Britain minggu lalu untuk menilai pandangan mereka mengenainya. Kami sependapat iaitu keadaan tidak menentu ini adalah bagi jangka masa pendek kerana semua pihak mencari suatu kepastian.

Terus pantau keadaan

“Terutamanya dalam hal siapakah menteri baharu, bagaimana mereka akan membentuk dan mentakrif dasar. Oleh itu, memang benar buat masa ini ada pihak terus memantau keadaan. Tetapi, kami menaruh keyakinan (keadaan akan jadi lebih baik).Inilah nasihat saya kepada pelabur Britain iaitu Malaysia wajar terus dapat sokongan dan pelaburan,” katanya kepada NSTP.

Treadell juga berpendapat, dalam tempoh terdekat dan sederhana, sehingga kerajaan baharu selesai menamakan menteri dan benar-benar menangani rasuah, ia akan memperkukuh ekonomi Malaysia kerana setiap ringgit kembali ke dalam ekonomi, untuk belanja sektor awam, menggerakkan program, pelaburan dan membangunkan infrastruktur yang perlukan.

“Kita juga tahu bahawa pasaran tidak suka kejutan, tetapi saya fikir iklim pelaburan patut lebih baik dan akan bertambah baik sebaik sahaja mereka menerimanya membolehkan keadaan kembali tenang serta urus tadbir negara berjalan semula,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan sama ada Malaysia masih lagi pasaran yang baik selepas pelabur asing dilaporkan membawa keluar pelaburan bernilai berbilion ringgit daripada pasaran sejak PRU-14

Khamis lalu, ketika ditutup, Bursa Malaysia (FBM KLCI) berada di bawah 1,700 mata, penurunan 17.43 mata atau 1.01 peratus kepada 1,692.32, tahap paling lemah sejak 8 Februari 2017 apabila indeks ditutup pada 1,688.50.

Treadell menyokong usaha kerajaan baharu untuk menangani rasuah dan memastikan pelaburan yang terbaik sahaja dapat memberi faedah kepada Malaysia.

Main peranan penting

Treadell yang percaya Malaysia akan melantik seorang Menteri Luar baharu tidak lama lagi juga menaruh harapan bahawa negara ini akan terus memainkan peranan penting di pentas dunia.

“Inilah keadaannya di Malaysia baharu.(Perdana Menteri) Tun Mahathir (Mohamad) dengan jelas menekankan mengenai pelaksanaan mengikut undang-undang. Ia tidaklah hanya mengenai agenda domestik, ia juga mengenai undang-undang antarabangsa sebagai sebahagian komuniti antarabangsa.

“Jadi, inilah harapan saya. Memastikan undang-undang antarabangsa turut dihormati dan Malaysia terus berada di pentas dunia.

Keputusan pilihan raya anda satu petanda jelas amalan demokrasi. Berbeza dengan keadaan ditempat tertentu lain, ini peluang bagi Malaysia mendapat profil global,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");