Berita Hari Ini

CUEPACS Minta Kerajaan Kekal Koperasi Kredit

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan meneruskan operasi koperasi kredit (KK) bagi menjaga kebajikan ahlinya terutama dalam kalangan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata gesaan itu dibuat kerana pihaknya bimbang kerajaan baharu mengikut langkah pentadbiran lama yang mengurangkan bilangan KK biarpun setakat ini belum ada ura-ura mengenai perkara itu.

Beliau berkata, kewujudan KK yang berkonsepkan jimat cermat dan menyimpan wang turut menyediakan pinjaman peribadi selama ini banyak membantu kelangsungan aktiviti ekonomi ahlinya.

“Kerajaan dulu mengurangkan bilangan KK menjadi 600, manakala ahlinya seramai 1.6 juta membabitkan penjawat awam dan pesara.

“Pelbagai kemudahan disedia untuk ahli termasuk pinjaman kecemasan, pendidikan dan membeli barangan keperluan rumah tangga dengan kelulusan segera.

“Jika ditutup, ke mana mereka hendak pergi (meminjam), adakah kepada bank atau institusi kewangan yang syaratnya berubah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama rakan strategik, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), lapor Berita Harian semalam.

Hadir sama, Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Azih berkata, hasil perbincangan itu mereka berharap kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengekalkan KK ini bagi kebaikan penjawat awam khususnya yang menjadi ahli begitu lama.

“Jumlah peminjam KK ini kira-kira sejuta orang dan ia bertambah dari semasa ke semasa. Penyertaan mereka (meminjam) menghidupkan koperasi, sekali gus membolehkan bayaran balik dividen kepada ahli,” katanya.

Untuk rekod, setakat 30 Jun 2017, jumlah syer KK bernilai RM6.07 bilion dengan perolehan RM4.2 bilion.

Sementara itu, Abdul Fatah berkata, mesyuarat itu turut membincangkan bagaimana kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam menyelesaikan pelbagai isu lain termasuk kediaman untuk penjawat awam.

“Saya berharap perkara yang kami bangkitkan akan dapat perhatian daripada kerajaan. Kita akan memperincikan hasil perbincangan ini dalam masa sebulan sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");