Berita Hari Ini

Dasar Tender Terbuka Tidak Pinggirkan Kontraktor Bumiputera – Lim

KUALA LUMPUR: Dasar tawaran tender secara terbuka untuk setiap projek persekutuan dan negeri yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meminggirkan kontraktor Bumiputera di negara ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata terdapat kekeliruan dari segi pemahaman masyarakat mengenai konsep tender terbuka yang dilaksanakan oleh kerajaan dan beranggapan bahawa ia akan membuatkan kontraktor Bumiputera terpinggir.

“Apabila kita sebut mengenai tender terbuka, yang kita maksudkan ialah ia terbuka dalam kalangan kontraktor Bumiputera sahaja, bukanlah secara terbuka (kepada kaum-kaum lain) seperti yang dianggap oleh pihak-pihak tertentu.

“Konsep ini kita telah laksanakan di Pulau Pinang, dan saya rasa hasilnya adalah lebih baik (berbanding tender tertutup), kerana kita dapat memastikan bahawa setiap kontrak diberikan secara kompetitif,” katanya dalam program Bicara Khas terbitan RTM1 di sini, malam tadi.

Lim berkata, semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang lebih 90 peratus projek kerajaan negeri dimenangi oleh kontraktor Bumiputera, membuktikan bahawa mereka mempunyai daya saing yang baik.

“Janganlah pandang rendah kemampuan kontraktor Bumiputera. Di Pulau Pinang, mereka telah membuktikan kesanggupan dan kebolehan mereka (untuk bersaing),” katanya lapor Bernama.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan terus memberikan penekanan terhadap golongan wanita, peneroka Felda dan projek infrastruktur, khususnya yang berkaitan kemudahan asas yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita nak buat demi rakyat, untuk rakyat, bukan untuk kroni-kroni tertentu. Supaya rakyat boleh rasa, selepas lima tahun, adakah kehidupan mereka lebih baik berbanding sekarang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");