Berita Hari Ini

Dr M Akui Tiada Bukti Terhadap Saya, Kata Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mengakui Pakatan Harapan (PH) melemparkan tuduhan terhadapnya tanpa bukti kukuh berkaitan isu 1MDB.

Najib dalam satu catatan di Facebook hari ini berkata, sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PH mendakwanya mencuri berbilion daripada dana 1MDB, tetapi kini berkata tidak mudah menahan atau mendakwa ahli Parlimen Pekan itu tanpa bukti kukuh.

“Beliau (Dr Mahathir) turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh PH selama ini akan dipersoalkan rakyat.

”Dengan berkata demikian, Dr Mahathir telah mengaku PH membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan sebahagian daripada konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya,” tulisnya dalam Facebook.

Najib berkata, sukar menyediakan kertas pertuduhan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak pernah mengambil keterangannya ketika itu.

“Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah.”

Pada 2015, satu kertas pertuduhan didakwa ditandatangani Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail Gani yang mengetuai pasukan petugas khas menyiasat kes RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Kertas pertuduhan itu berhubung bayaran RM42 juta yang diterima Najib daripada SRC International dibocorkan dalam talian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menyangkalnya dengan berkata ia adalah dokumen palsu.

Selepas itu, Gani digantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang secara terbuka membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku.

Bulan lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Gani dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 15 Mei lalu mendedahkan beliau dipecat sebagai peguam negara pada 2015 semasa merancang mendakwa Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu.

“Dia dakwa beliau sedang menyediakan kertas pertuduhan terhadap Najib dan pada pagi itu dia dilucutkan jawatannya,” katanya pada sidang media 16 Mei lalu.

Najib disoal SPRM mengenai SRC International sebanyak 2 kali, pada 22 dan 24 Mei lalu yang keseluruhannya mengambil masa lebih 11 jam, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut memberi keterangan selama 3 jam kepada SPRM pada 5 Jun lalu.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");