Perak Hari Ini

Dr Noor Azmi Keluar UMNO

BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini, mengumumkan keluar UMNO dan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Pakatan Harapan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Keputusan itu diambil katanya setelah mengambil kira berkaitan kepentingan rakyat yang diwakilinya serta demi kepentingan Agama,Bangsa dan Negara.

“Faktor utama saya membuat keputusan ini adalah kerana rakyat Bagan Serai bukan kerana kepentingan peribadi mahupun jawatan.

“Tidak mudah bagi saya membuat kenyataan dan membuat keputusan ini melainkan setelah saya berfikir sedalam-dalamnya.

“Rakyat Bagan Serai telah membuat keputusan menyokong dan memilih saya sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 dan keputusan ini amat penting bagi kesinambungan segala tugasan dan khidmat saya untuk rakyat Bagan Serai,” katanya dalam satu sidang media khas hari ini.

Azmi turut mengumumkan dan mengisytiharkan telah keluar dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta mengisytiharkan sokongan dan dokongan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

“Saya juga ingin mengumumkan sokongan dan dokongan kepada Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu serta kepimpinan Pakatan Harapan di Negeri Perak,” katanya.

Beliau turut berharap keputusan ini difahami dan diterima oleh rakyat Bagan Serai.

Azmi turut mengakui kebolehan Tun Mahathir Mohamad dalam mentadbir negara selama 22 tahun lalu dan bukti kejayaan cemerlang ditempa selama ini.

“Saya kini sebagai wakil rakyat bebas kini menyokong kepimpinan kerajaan sekarang dan berharap bantuan serta perhatian boleh diberikan kepada kawasan Parlimen Bagan Serai kerana yang saya bimbangkan adalah rakyat bukannya kuasa antara parti politik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");