Jenayah

Gaduh Sebab Hutang, Mabuk Punca Tembak

IPOH: Perselisihan faham akibat masalah hutang dan mabuk dipercayai menjadi punca pergaduhan dua rakan yang berakhir dengan kedua-duanya maut dalam kejadian tembak di Kampung Koh, Sitiawan, dekat sini malam tadi selepas seorang ditembak menggunakan senapang patah dan seorang lagi dipercayai menembak diri sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata kes tembak menggunakan senapang patah itu berlaku di tempat letak kereta di hadapan kedai makan Kampung Koh, Sitiawan jam 11 malam tadi.

Menurutnya, mangsa lelaki berusia 66 tahun yang berasal dari Pekan Gurney, Sitiawan ditembak di kaki dan tangan manakala suspek pula lelaki berusia 62 tahun.

“Mangsa dan suspek dipercayai minum minuman keras bersama di kedai makan dan berlaku selisih faham sehingga suspek menembak beberapa das ke arah kaki mangsa di hadapan kedai berkenaan,” katanya lapor Berita Harian hari ini.

Yahya berkata, suspek kemudian melarikan diri dan berdasarkan maklumat diperoleh suspek turut melarikan pistol milik mangsa.

“Suspek kemudiannya dipercayai menembak diri sendiri dalam sebuah kenderaan yang ditemui beberapa kilometer dari tempat kejadian.

“Semakan mendapati mangsa dan suspek mempunyai lesen senjata api,” katanya.

Susulan kejadian itu mangsa dibawa ke Hospital Seri Manjung dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia sebaik sampai di hospital.

Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah hutang perniagaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mayat suspek dan mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Peramisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat kira-kira jam 2 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman dijangka mengadakan sidang media mengenai kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada jam 3.45 petang nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");