Berita Hari Ini

Guna Jet, Rumah Rasmi TPM Tak Salah, Kata Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tindakannya turut serta bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menaiki jet kerajaan merupakan salah guna aset awam, tetapi mengalu-alukan kritikan awam terhadapnya sebagai sesuatu yang positif.

“Timbalan perdana menteri (Wan Azizah) naik pesawat untuk urusan rasmi. Apakah Azizah naik pesawat dan saya ikut naik kereta berasingan?” soalnya ketika ditanya mengenai perkara itu dalam wawancara khas bersama badan kaji selidik berkait PKR, Invoke Malaysia.

Sebelum ini, beberapa muat naik di media sosial mempersoalkan Anwar yang kini tiada jawatan kerajaan menaiki jet rasmi ke Kelantan untuk bertemu kerabat diraja.

Anwar turut ditanya mengenai sebuah program yang dirancang di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Sri Satria di Putrajaya, untuk bertemu dengan semua wakil rakyat PKR.

Menurutnya, isu salah guna kuasa itu tidak timbul kerana program itu bertujuan menerangkan tanggungjawab setiap wakil rakyat mengenai tugas mereka.

“Saya tidak anggap itu penyalahgunaan kuasa. Tetapi ada kemungkinan berlaku keterlanjuran,” katanya, merujuk kritikan yang langkah itu mencampur aduk urusan kerajaan dengan parti.

Susulan beberapa kritikan, Nurul Izzah Anwar yang juga pengarah pilihan raya PKR memutuskan tidak menggunakan rumah rasmi itu untuk pertemuan wakil rakyat dari partinya.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tetap berpandangan ia bukan salah laku.

“Itu bukan penyalahgunaan untuk kepentingan parti. Tetapi kalau dirasakan perlu pindah tempat, maka pindah sahaja.

“Salah guna wang, tender dan rasuah, itu yang kita harus berwaspada,” katanya.

Anwar berkata beliau mengalu-alukan iklim politik baru di Malaysia yang menyaksikan tindakan pemimpin semakin diperhatikan secara rapat oleh rakyat.

“Positifnya ialah orang lebih kritikal, pemimpin lebih perlu waspada.

“Tapi jangan sampai takut buat kerja. Asalkan tidak menyalah guna kuasa,” kata ketua umum Pakatan Harapan itu.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");