Jenayah

Guru Rugi RM108,380 Ditipu Sindiket Pinjaman Wang Tidak Wujud

KUANTAN: Hasrat seorang guru di Pekan, Pahang ingin membuat pinjaman wang berjumlah RM20,000 tidak kesampaian malah kerugian RM108,380 selepas diperdayakan sindiket pinjaman wang tidak wujud di laman sosial Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian bermula pada pertengahan April lalu apabila mangsa berusia 43 tahun tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dipromosikan di Facebook atas nama Pinjaman Peribadi Koperasi.

Beliau berkata, mangsa kemudian meletakkan nombor telefonnya di ruang komen bagi memudah pihak koperasi berkenaan menghubunginya.

“Pada 30 April lalu, mangsa dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Miss Celine daripada Syarikat Al Ariyah Enterprise yang menawarkan pinjaman peribadi.

“Selepas membuat perbincangan dan mangsa menyerahkan gambar beberapa dokumen, suspek berkenaan bersetuju menawarkan pinjaman peribadi kepada mangsa sebanyak RM20,000 dengan bayaran bulanan RM433.33 selama 5 tahun melalui ‘auto’ debit bank,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini lapor Astro Awani.

Beliau berkata, mangsa yang bersetuju dengan tawaran berkenaan telah membuat bayaran bermula 3 Mei sehingga Sabtu lalu selain beberapa transaksi wang untuk pelbagai caj yang dikenakan.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM108,380. Wang berkenaan kononnya untuk tujuan kelulusan pinjaman berkenaan namun selepas transaksi dibuat, mangsa menyedari dia sudah ditipu sindiket itu.

“Mangsa yang tidak berpuas hati menghubungi Telelink Bank Negara Malaysia (BNM) dan mereka menasihatkannya supaya membuat laporan polis. Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");