Panasnya Hari Ini

Hapus Tol KL-Seremban, Salak Bukan Jasa PH

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendakwa penghapusan tol di jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway mulai hari ini, bukanlah jasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To, berkata tol pada kedua-dua laluan itu dihapuskan kerana konsesi untuk kedua-dua jajaran yang dulunya diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar tahun 1990an tamat pada jam 12 tengah malam tadi.

“Kedua-dua konsesi itu yang berada di bawah syarikat ANIH Bhd, tidak pernah dilanjutkan oleh kerajaan BN ketika di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Datuk Seri Najib Razak.

“Justeru, penyokong PH dan Tun Mahathir tak payah perasan. Mereka patut terus tuntut PH untuk menghapuskan segala tol di Malaysia seperti dijanjikan oleh mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya menerusi satu kenyataan media, pagi ini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan tiada lagi kutipan tol di jajaran Kuala Lumpur-Seremban Expressway dan Salak Expressway di Plaza Tol Sungai Besi kendalian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 12 tengah malam tadi.

LLM dalam kenyataannya, berkata dengan penamatan tempoh konsesi jajaran berkenaan, bayaran tol bagi semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi dikurangkan di antara RM 0.40 hingga RM1.70.

“Penamatan ini sekali gus akan memberi manfaat kepada hampir 130,000 kenderaan yang menggunakan plaza tol berkenaan setiap hari.

“Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja,” kata kenyataan itu.

Katanya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baharu menerusi laman web www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");