Berita Hari Ini

Harga Rokok Kekal Walau Sifar GST

SHAH ALAM – Kerajaan menetapkan supaya harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar bermula semalam.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan media hari ini berkata, kerajaan berpendirian dan menegaskan bahawa harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok tidak boleh diturunkan.

“Ini kerana ia merupakan produk yang membahayakan kesihatan.

“Sebarang penurunan harga jualan runcit akan dianggap sebagai suatu bentuk promosi secara tidak langsung serta bertentangan dengan Peraturan 5A, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” kata kenyataan itu lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, pengekalan harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok juga adalah selaras dengan komitmen antarabangsa di bawah Artikel 6, World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control yang telah mengiktiraf langkah percukaian dan mekanisme kawalan harga adalah berkesan dalam menurunkan permintaan terhadap hasil tembakau.

Harga minimum rokok ditetapkan RM9 untuk 20 batang pada 1 Ogos 2015 dan dinaikkan lagi RM10 pada 1 Ogos 2016. Dengan harga itu bermakna tiada rokok yang boleh dijual di bawah harga berkenaan.

Mana-mana individu didapati tidak mematuhi harga minimum rokok mengikut Peraturan 8A (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");