Berita Hari Ini

Hentikan Guna Surat Sokongan – Syed Saddiq

MUAR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu penggunaan surat sokongan khususnya untuk urusan perniagaan daripada kerajaan diperhalusi dan sekiranya boleh, terus dihentikan bagi membendung salah guna kuasa dalam kalangan parti serta kakitangan kerajaan.

Serentak itu, Syed Saddiq Abdul Rahman turut meminta penjawat awam agar lebih berani untuk tidak menerima atau membuat sebarang sokongan yang melanggar perundangan.

“PM (Perdana Menteri) dah katakan kalau ada elemen salah guna kuasa atau perkara tersebut bertindih dengan undang-undang sedia ada, penjawat awam kena berani bersuara.

“Jangan terima perkara ini, kerana salah tetap salah, tambahan penjawat awam merupakan benteng kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di sini, pada Ahad.

Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku skandal bazar Ramadan di Kuala Lumpur baru-baru ini yang melibatkan pemimpin Pemuda PPBM .

Dalam skandal itu, pemimpin terbabit didakwa menyalahgunakan pengaruh politiknya bagi mendapatkan 80 tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan menyewakannya semula sehingga RM5,000 untuk satu lot bagi mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Menurut Syed Saddiq beliau dimaklumkan kejadian itu berhubung kait dengan budaya surat sokongan dan oleh itu laporan polis telah dibuat oleh Biro Integriti Pemuda PPBM bagi memastikan siasatan secara mendalam dijalankan.

Ini seiring dengan ketegasan kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk menghapuskan gejala rasuah dan penyelewengan kuasa di peringkat parti dan kerajaan.

“Kita hendak ia disiasat sampai ke lubang cacing. Kalau ada elemen penyelewengan dan salah guna kuasa, kita tidak akan mmpertahankan mereka yang berada di pihak yang salah,” katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");