Perak Hari Ini

Inisiatif Kerajaan Negeri Hargai Jasa Anggota Keselamatan, Beruniform

IPOH:  Sebagai menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan dan beruniform khususnya yang terpaksa bertugas pada Hari Raya Aidilfitri, Kerajaan Negeri Perak hari ini, menyumbangkan hampir 20,000 buah kotak yang berisi pelbagai juadah hari raya kepada mereka.

Antara 18 pasukan anggota keselamatan yang menerima kotak-kotak tersebut ialah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am, Tentera Udara DiRaja Malaysia, Tentera Laut DiRaja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara Taiping.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata penghargaan kepada pasukan-pasukan keselamatan dan beruniform seperti ini harus dicontohi semua agensi di seluruh negeri.

Bagaiamanapun ujarnya, pemberian kotak tersebut tidaklah setimpal dengan segala pengorbanan yang dicurahkan demi memastikan keselamatan dan keamanan negara sentiasa terpelihara.

“Pengorbanan mereka khususnya pada musim perayaan saban tahun, tidak mampu kita balas. Segala usaha mereka ini menjadi tunjang kepada kedaulatan negeri.

“Ketika mana orang lain berkesempatan beraya bersama keluarga, pasukan-pasukan keselamatan ini tetap  setia dengan tugasnya untuk berkhidmat demi negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan  majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2018 Kepada Pasukan Keselamatan dan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Tambah beliau, berbanding dengan jumlah kotak juadah hari raya yang lalu, bagi tahun ini kerajaan negeri telah menambah sejumlah 3,000 buah kotak lagi kepada mereka.

Acara majlis penyerahan kotak disempurnakan beliau serta dua Exco kerajaan negeri  iaitu Yong Choo Kiong serta, Wong May Ing.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal, Panglima 2 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Nizam Jaafar serta Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Difahamkan kesemua kotak juadah hari raya itu disiapkan 505 orang petugas yang terdiri daripada 15 badan bukan kerjaan (NGO).

Antaranya ialah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Wanita Prihatin, Pergerakan Puteri Islam Negeri serta  Persatuan Ibu Tunggal Muslimah.

Para petugas juga turut membawa pulang kotak-kotak tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");