Sukan Hari Ini

Iran Sampai Dulu

MOSCOW: Iran menjadi pasukan pertama tiba di Russia untuk aksi Piala Dunia, temasya bola sepak selama sebulan yang bermula di Stadium Luzhniki pada 14 Jun ini.

Beraksi buat kali kelima dan berada di ranking ke-36 FIFA, Iran memulakan kempen Kumpulan B menentang Maghribi pada 15 Jun di Nizhny Novgorod.

Mereka kemudiannya berkunjung ke Kazan untuk menentang bekas juara Piala Dunia, Sepanyol pada 20 Jun sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Portugal pada 25 Jun.

Juara Piala Asia tiga kali itu mara mudah buat kali kedua beturut-turut ke Piala Dunia, mencatat rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan dalam kumpulan Asia.

Iran tewas 1-2 kepada Turki pada perlawanan persahabatan terakhir 28 Mei lalu dan akan berdepan aksi pemanas badan terakhir sebelum Piala Dunia berdepan Lithuania, Jumaat ini.

Dikendalikan jurulatih dari Portugal, Carlos Queiroz, yang pernah melatih pasukan kebangsaan negaranya, Iran akan berdepan laluan sukar untuk mara ke peringkat kalah mati.

“Berada di Russia bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan buat bola sepak Iran,” kata Queiroz.

“Kami meraihnya menerusi kerja keras dan pengorbanan dan ia membuktikan betapa bangga dan bertuahnya kami berada di sini.

“Pasukan kebangsaan Iran berpeluang bertemu dengan pasukan terbaik dan menjadi sebahagian daripada keluarga Piala Dunia yang hebat. Kami tiba di sini dengan impian pergi sejauh mungkin dan tidak sabar menjadikannya Piala Dunia terbaik.”

Mereka akan berpangkalan di pusat latihan kelab Liga Perdana Russia, Lokomotiv Moscow, yang terletak di barat daya pinggir ibu negara Russia itu.

Piala Dunia yang menampilkan 32 negara terbaik, akan tamat di Moscow pada 15 Julai depan. – AFP/Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");