Membawang Hari Ini

Jadi ‘Gadis Lorong’, Amyra Ambil Suntikan

Begitulah antara cabaran dihadapi isteri pelakon Amar Baharin ini ketika menjayakan penggambaran drama rantaian Nur yang disiarkan slot Samarinda di TV3, berakhir, Rabu lalu.

Mengaku pada mulanya menolak tawaran pengarah Shahrulezad Mohameddin membawa watak utama Nur dalam drama berkenaan, Amyra, 27, mengambil langkah berjaga-jaga.

Semuanya dilakukan aktres jelita itu bagi mengelak anak tersayang, Aqeef Anaqi dijangkiti virus kesan daripada pendedahannya di lokasi penggambaran.

“Saya alami batuk selama lebih kurang seminggu kerana kami melakukan penggambaran di lorong-lorong. Di situ, banyak aktiviti tidak sihat dan tikus pun banyak.

“Hingga pada hari Amar tidak sibuk, dia datang menemani saya di lokasi.

“Namun, pengalaman berlakon dalam drama Nur ini menyeronokkan. Selama menjadi pelakon, saya tidak pernah menjalani penggambaran di lokasi seumpama itu,” katanya kepada BH Online.

Drama Nur yang memaparkan liku hidup Nur sebagai gadis lorong, mendapat sambutan memberangsangkan hingga berjaya mencatat jumlah tontonan mencecah sembilan juta.

Amyra berkata, dia gembira drama Nur mendapat sambutan menggalakkan malah tidak menduga watak dibawanya meninggalkan impak.

“Pada mulanya, saya risau hendak terima tawaran Nur. Ini kerana saya sudah lama berehat dan berfikir bolehkah peminat menerima saya semula.

“Sebab itulah saya tolak… Namun, syarikat produksi sentiasa bertanya hinggalah pada suatu tahap, saya bersetuju. Saya tidak baca pun jalan ceritanya, tapi apabila dibaca sinopsis, saya tahu cerita ini ‘sesuatu’,” katanya.

Amyra berkata, watak Nur yang dibawanya cukup mencabar.

“Secara jujur, saya tak pernah mahu menjayakan cerita gelap. Saya tak suka, apatah kalau cerita yang memerlukan saya berpakaian seksi.

“Tapi karakter Nur berbeza, ia sangat mencabar daripada segi emosi dan meletihkan. Namun, apabila melihat hasilnya, saya gembira melakukannya,” katanya.

Amyra turut memuji komitmen barisan pelakon, pengarah dan kru produksi. Baginya, drama Nur berjaya disebabkan komitmen seluruh warga produksi.

“Kejayaan drama ini bukan disebabkan lakonan saya seorang saja, semua yang terbabit dalam drama ini memainkan peranan penting, terutama Abang Ijat (Shahrulezad).

“Saya bertuah kerana dapat berlakon dengan pengarah seperti Abang Ijat kerana dalam drama Nur, dia yang banyak mencorakkan lakonan saya.

“Abang Ijat sentiasa memantau semuanya, saya jarang dapat pengarah yang menjaga semua segi. Daripada episod pertama hingga akhir, semuanya dijaga,” katanya yang mengaku sudah tiba masanya untuk dia menjayakan lebih banyak drama berat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");