Berita Hari Ini

‘Jangan Sekat Penganjuran Program Ilmiah Di Universiti Awam’

PUTRAJAYA: Tiada lagi sekatan bagi penganjuran program ilmiah, debat, forum dan wacana di universiti awam (UA) berkuat kuasa serta-merta sekali gus menjadikan institusi berkenaan medan intelektual.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya menggesa Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar supaya tidak melakukan sebarang sekatan ke atas program berkenaan.

“Universiti adalah medan intelektual terbuka dan dalam era Malaysia baharu, tidak mahu ada lagi sekatan kepada mana-mana program ilmiah ini.

“Selepas ini, banyak program di universiti tanpa sekatan. Sebelum ini (kerajaan dahulu), ada sekatan program di IPTA, termasuk dibatalkan pada saat akhir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) di sini, malam tadi, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata, bagi menjadikan UA medan terbuka, palang di pintu masuk utama institusi juga adalah tidak dibenarkan.

“Semua palang di UA perlu diangkat kerana kita mahu menghentikan suasana itu di Malaysia sama seperti University of Oxford dan University of Cambridge,” katanya.

Berhubung isu beg sekolah berat, Maszlee berkata, beliau menyerahkan kuasa kepada guru untuk melaksanakan inisiatif sendiri bagi meringankan beg sekolah murid masing-masing.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mencari mekanisme dalam mengurangkan beban beg sekolah berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan berhasrat memperkasakan sekolah tahfiz dan madrasah di negara ini dengan ilmu keusahawanan sekali gus pelajar tidak tertumpu kepada bidang agama semata-mata.

Menurutnya, langkah berkenaan penting sebagai nilai tambah kepada pelajar terbabit selain memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan mereka.

“Tidak dinafikan selepas mereka tamat belajar kelak, mereka akan menjadi imam dan sebagainya namun, mereka juga perlu diberikan nilai tambah untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Sekarang peluang terbaik untuk kita seimbangkan pelajar tahfiz ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mempunyai projek baharu membabitkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) khusus untuk pelajar tahfiz di Kolej Komuniti di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");