Berita Hari Ini

Jho Low Akan Bantu SPRM Siasat 1MDB

KUALA LUMPUR: Pembiaya Malaysia, Low Taek Jho berjanji akan membantu siasatan berkaitan 1MDB, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggilnya untuk disoal siasat.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, mengarahkan peguamnya menghubungi SPRM selepas menyedari agensi anti-rasuah itu mencarinya, kata wakilnya dalam satu kenyataan.

Ahli perniagaan itu disifatkan “saksi terbaik” untuk memberi maklumat berhubung dakwaan jenayah berkaitan 1MDB.

Low yang sebelum ini mengakui beliau melakukan kerja perundingan untuk 1MDB, digambarkan beberapa penyiasat antarabangsa sebagai invidivu penting di sebalik beberapa skim melibatkan kehilangan dana syarikat pelaburan negara itu. Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) menggambarkan Low sebagai individu yang hidup mewah dan orang penting yang menubuhkan syarikat kosong dan merancang pemindahan berjuta dolar kepada pegawai kerajaan Malaysia, sementara penyiasat Singapura menyifatkannya “orang penting”.

Lokasi Low

Penyiasat Malaysia memfokuskan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dalam siasatan terbaru mereka. SPRM memanggil Low selepas mereka mengambil keterangan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung SRC International.

SPRM juga meminta Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah urusan SRC International.

Media melaporkan Low berada di pelbagai lokasi termasuk Thailand, Hong Kong dan Australia, sementara Nik Faisal tidak dapat dikesan.

Tun Daim Zainuddin yang dilantik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelia siasatan terbaru 1MDB, berkata beliau “secara dasarnya” tahu di mana Low berada dan memintanya pulang ke tanah air. SPRM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat Low agar menghubungi mereka.

Malaysia mempunyai bukti cukup ke atas jenayah Low, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementeriannya hari ini.

“Saya tidak kata saya hendak mendahului peraturan dan undang-undang, tetapi dalam kes-kes yang sudah jelas, tindakan tegas mengikut undang-undang kanun jenayah atau rasuah perlu diambil seberapa segera.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");