Jenayah

Kanak-Kanak Lelaki Meninggal Dunia Keracunan Makanan

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun meninggal dunia selepas mengalami keracunan makanan di Hospital Seri Manjung di sini semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming berkata mangsa dan enam lagi anggota keluarganya mengalami gejala keracunan makanan antara 1 pagi dan 5 pagi pada Jumaat lalu, sebelum mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik swasta pada hari yang sama.

Beliau berkata gejala yang dialami mereka adalah sakit perut, cirit-birit, muntah, dehidrasi, keletihan dan demam, manakala seorang daripadanya mengalami sawan.

“Empat kes dimasukkan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut pada Sabtu lalu (2 Jun) dan kanak-kanak lelaki tersebut meninggal dunia kerana mengalami komplikasi semasa menerima rawatan di Hospital Seri Manjung semalam,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini lapor Bernama.

Dr Ding berkata anggota keluarga mangsa yang sedang mendapatkan rawatan kini berada dalam keadaan stabil dan beransur pulih.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian keracunan makanan melibatkan keluarga terbabit yang tinggal di Kampung Changkat Chermin, Ayer Tawar pada Sabtu lepas.

Sementara itu, Dr Ding berkata siasatan dan verifikasi di fasiliti kesihatan di sekitar lokasi gerai-gerai makanan di tepi jalan Simpang Gelung Pepuyu dan Bazar Ramadan di Titi Gantung mendapati tiada peningkatan kejadian kes ‘Acute Gastroenteritis’ dan keracunan makanan dikesan sejak 31 Mei sehingga kini.

“Ia kejadian terpencil dan hanya melibatkan keluarga ini sahaja. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");