Panasnya Hari Ini

Kelibat Veteran, Pemimpin UMNO Di Menara Dato Onn

KUALA LUMPUR: Kelibat beberapa veteran dan pemimpin UMNO kelihatan di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Antaranya, bekas Menteri Besar Johor yang juga bekas Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Tidak ketinggalan, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Kedua-duanya ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut tujuan mereka hadir di Menara Dato Onn.

Masing-masing dilihat mengunci mulut daripada menjawab pertanyaan pemberita sama ada mereka menghantar borang pencalonan untuk bertanding pada pemilihan UMNO akan datang.

Irmohizam sekadar memberi respons ringkas bahawa beliau akan berfikir terlebih dahulu untuk bertanding ataupun tidak.

Yang turut kelihatan di pekarangan Menara Dato Onn ialah EXCO Pemuda UMNO, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin

Ketika ditemui selepas solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan bertanding jawatan tertinggi parti, terutama membabitkan Pemuda UMNO kerana berasakan ramai lagi individu yang layak.

Katanya, beliau akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih sebagai ketua demi kelangsungan parti pada masa depan.

Sementara itu, bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Zaharin Mohd Yasin, turut menghantar borang pencalonan hari ini untuk bertanding jawatan Ahli MT UMNO.

Zaharin, 66, yang juga Ketua UMNO Cawangan Sri Labuan, ketika ditemui oleh pemberita berkata, niatnya bertanding jawatan Ahli MT bertujuan mengubah imej UMNO.

Beliau yang pernah dipecat dua kali akibat kelantangannya mengkritik pemimpin tertinggi UMNO berkata, budaya tegur-menegur pemimpin perlu disuburkan supaya parti keramat orang Melayu itu dapat belajar daripada kesilapan.

“Saya boleh dianggap seorang yang agak berani menegur pemimpin ketika mereka berkuasa dan kini sudah tidak lagi.

“Sekiranya dapat duduk sebagai Ahli MT nanti, saya akan memberi pandangan bahawa UMNO yang tersasar mesti kembali ke landasan perjuangan sebenar, iaitu ‘back to basic’ (kembali kepada asas). UMNO mesti kembali berjuang demi kepentingan dan faedah orang Melayu serta Islam,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");