Berita Hari Ini

Khabar Angin Anggota Kabinet Mungkin Sahih

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub seakan-akan memberi bayangan bahawa senarai jemaah menteri dan timbalan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu adalah sahih.

Biarpun tidak mahu mengulas lanjut mengenai barisan Kabinet yang akan mengangkat sumpah di Istana Negara pada 2 Julai ini, Salahuddin mempunyai jawapan tersendiri berdasarkan pengalamannya ketika pelantikan jemaah menteri kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir sebelum ini.

“Saya tidak mahu komen (barisan Kabinet) yang baharu tetapi berdasarkan pengalaman yang lalu… the first batch, khabar angin itu sahih.

“Jadi walaupun telah tular sekarang ini, yang saya boleh beritahu adalah surat rasmi dari Istana Negara telah pun dikeluarkan.

“Mereka (menteri dan timbalan menteri yang baharu) akan mengangkat sumpah pada 2 Julai ini, itu sahih,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Tani di sini hari ini.

Minggu lalu, beberapa media tempatan melaporkan Dr. Mahathir telah mengemukakan nama 15 anggota Kabinet tambahan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, dua hari sebelumnya.

Antara nama yang disenarai memegang jawatan menteri ialah Datuk Saifuddin Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Khalid Samad (Amanah) serta Teresa Kok dan Ong Kian Ming (DAP).

Istana Negara dalam satu kenyataan Sabtu lalu pula memberitahu, barisan menteri dan timbalan menteri baharu berkenaan akan mengangkat sumpah pada 2 Julai ini.

Mengikut kenyataan pihak Istana Negara, Pejabat Perdana Menteri telah menyerahkan senarai barisan Kabinet kerajaan baharu itu pada 20 Jun lalu untuk diperkenankan oleh Sultan Muhammad V.

Senarai nama tersebut kemudian diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dipulangkan semula ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

Berikutan itu, sejak malam Isnin lalu mula tular 28 nama Ahli Parlimen termasuk 13 menteri yang telah mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu akan membarisi jawatan menteri Kabinet kerajaan PH. Turut tersebar di laman sosial senarai nama 24 timbalan menteri.

Dr. Mahathir dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Isnin lalu turut mengesahkan bahawa senarai penuh anggota Kabinet telah dimuktamadkan.

-K! ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");