Berita Hari Ini

KJ Pertikai Guan Eng Guna Bahasa Mandarin

SHAH ALAM: Tindakan Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin dianggap bukan saja mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan, malah merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa.

Calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata, ia juga seolah-olah cuba mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan.

“Bukan niat saya untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana itu adalah hak peribadi. Namun Kerajaan Persekutuan perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

“Jika kenyataan tersebut adalah untuk kegunaan pembaca antarabangsa sekalipun, kenapa kenyataan itu tidak dibuat dalam Bahasa Inggeris seperti dilakukan Kementerian Kewangan di awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan?,” katanya dalam kenyataan, hari ini, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengeluarkan kenyataan rasmi kementerian kewangan dalam Bahasa Mandarin.

Meskipun kenyataan rasmi dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris turut dikeluarkan, ramai mempersoalkan rasionalnya kenyataan Bahasa Mandarin dikeluarkan juga.

Bagaimanapun, Guan Eng mempertahankan tindakan mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa, yang menekankan kepelbagaian bahasa di negara ini.

Menurut Khairy, tindakan Guan Eng itu akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sedia tercabar sejak beberapa minggu ini.

“Kenyataan balas Guan Eng mempertahankan penggunaan Bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan tidak boleh diterima sama sekali.

“Walaupun kita hidup dalam era globalisasi, Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu dalam Perlembagaan) telah ditetapkan sebagai Bahasa Kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");