Berita Hari Ini

KWSP Suri Rumah Tetap Dilaksanakan

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan jaminan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah akan dilaksanakan walaupun kerajaan berdepan cabaran menyediakan dana.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan akan sedaya upaya berusaha menyelesaikan isu dana itu bagi membolehkan caruman tersebut dilaksanakan.

Dr Wan Azizah berkata, beliau telah berbincang mengenai dana itu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya mendapat jaminan (mengenainya) daripada Menteri Kewangan dan Insya-Allah, kita akan sedaya upaya berusaha selesaikan masalah ini,” katanya ketika berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Kesihatan Dr Zulkefly Ahmad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan sekarang menghadapi cabaran yang sukar kerana mewarisi pentadbiran yang menanggung beban hutang yang besar.

“Tugas membela rakyat akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya komited dan sedang menunaikan janji-janji manifesto Pakatan Harapan bagi meringankan beban hidup rakyat.

“Kerajaan prihatin dengan keluhan dan kesulitan rakyat dalam mendepani cabaran hidup masa kini,” kata beliau.

Antara janji kerajaan yang berkaitan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuklah usaha untuk mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan, meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak dan melaksanakan caruman KWSP untuk suri rumah.

Kerajaan juga berjanji untuk membela nasib golongan orang kurang upaya, memerangi jenayah dan gejala sosial, mendukung keutuhan institusi keluarga dan kejiranan serta memperkasa institusi kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawanan sosial, kata beliau.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan sumbangan kepada kumpulan sasar kementerian dan berbuka puasa bersama-sama hadirin.

Kumpulan sasar berkenaan ialah wanita terutamanya ibu tunggal, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, orang papa, pertubuhan bukan kerajaan dan mangsa bencana lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");