Perak Hari Ini

Lantik Zainol Fadzi Bukan Keputusan Sendiri, Tetapi Secara Bersama-MB Perak

IPOH:Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menegaskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat Khas kepadanya merupakan keputusan secara bersama dengan keempat-empat parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Katanya, keputusan tersebut bukannya atas kehendak dirinya sendiri tetapi telah dipersetujui dan diperkenan oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Sekadar makluman keputusan itu bukannya atas kehendak saya seorang diri sahaja tetapi keputusan secara bersama melibatkan keempat-empat parti komponen PH dalam negeri ini.

“Saya tidak buat keputusan seorang diri dan kesemua parti telah bersetuju dengan perlantikan Datuk Zainol, ia juga telah diperkenankan oleh Sultan. Perkara besar begini saya tidak ambil keputusan berseorangan,” katanya selepas menghadiri sesi perjumpaan dengan 17 duta dan ketua misi diplomatik kesatuan Eropah di Banjaran Hotsprings hari ini.

Faizal turut menegaskan sebarang keputusan besar akan dibuat secara bersama dengan kepimpinan PH dan pastinya akan ada pihak yang membantah terhadap sesuatu perkara termasuk berkaitan pelantikan itu.

“Tetapi dalam kita mentadbir sesebuah negeri saya percaya tidak semua keputusan dapat diterima sepenuhnya oleh semua ahli namun kita yakin setiap keputusan itu dilakukan adalah untuk kepentingan parti dan apabila membuat keputusan dasar melibatkan kerajaan adalah berkaitan kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Beliau turut mengakui setakat ini tidak ada keperluan untuk menukar keputusan tersebut malah jika ada sebarang perubahan sepatutnya keputusan itu juga datang dari kepimpinan PH.

Mengulas mengenai faktor yang mendorong kepada keputusan itu jelas Faizal ia berkaitan dengan sokongan yangd diberikan oleh Zainol semasa pembentukan kerajaan PH di negeri ini.

Malah jelasnya tidak timbul sebarang masalah kerana Adun Sungai Manik itu telah mendaftar sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

“Jadi di Dewan Undangan Negeri (DUN) wakil PPBM adalah dua orang iaitu saya mewakili Chenderiang dan Zainol dari Sungai Manik dan ia jelas.

“Dia bukannya adun bebas tetapi adun PPBM kita sentiasa berbincang dan menjaga keutuhan antara parti yang kita tubuhkan secara bersama kita jadi keputusan juga dibuat secara perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak yang membantah dilihat masih belum memahami asas dan tujuan mengapa keputusan itu dibuat dan satu perjumpaan telah diatur bersama pihak tersebut hari ini bagi memberi penjelasan.

“Saya telah menjemput mereka berjumpa hari ini dan akan berbincang dengan mereka serta menerangkan alasan perkara ini dibuat,” katanya.

Terdahulu isu pelantikan ini menjadi tular di media sosial yang mendapat bantahan daripada pihak penyokong parti komponen PH di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");