Perak Hari Ini

Lantikan Zainol Sebagai Penasihat MB Perak Dipersetujui Semua- Armada Bersatu Perak

IPOH:Sayap pemuda Armada BERSATU Perak yakin dengan keputusan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berhubung keputusan perlantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin selaku Penasihat Menteri besar.

Ketua ARMADA PPBM Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata keputusan itu pastinya dibuat setelah pertimbangan yang sewajarnya dilakukan selain dalam usaha beliau mengukuhkan kedudukan dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Perak.

Malah katanya, keputusan tersebut telah dipersetujui oleh semua terdiri daripada Ahli Majlis Pakatan Harapan.

“Berhubung isu perlantikan Datuk Zainol Fadzi selaku Penasihat Menteri Besar Perak, pelbagai komen dan reaksi yang diterima dari pelbagai pihak khususnya para pendokong parti Pakatan Harapan.

“ARMADA PPBM Perak yakin bahawa keputusan YAB Menteri Besar Perak ini perlantikan ini juga telah diperbincang dan dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Pakatan Harapan Perak disamping mendapat perkenan Sultan Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya,Armada turut menghormati pandangan yang berbeza dari pihak lain berhubung perkara ini bagaimanapun semua pihak perlu berhati-hati dan menyelidiki sebelum mengutarakan sesuatu isu kerana walau niat dan tujuannya baik namun jika tersilap langkah ia akan menjadi sebaliknya.

“Lebih malang lagi, jika ada pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh lalu membantutkan usaha kita membela rakyat.Ambillah pengajaran dari apa yang pernah berlaku pada mereka yang pernah diberi amanah sebelum ini, hilang arah tuju kerana meletakkan agenda peribadi mengatasi apa yang diperjuangkan akhirnya tersungkur disingkirkan rakyat.

“Saya menyeru buat semua pejuang Pakatan Harapan Perak yang menjadi penyumbang utama kepada penzahiran cita-cita rakyat Perak yang mahukan perubahan, telah diangkat martabat kita dari pembangkang kepada kerajaan maka pemikiran dan tindakan kita mestilah juga dimartabatkan supaya ianya menjadi contoh teladan terbaik buat rakyat negeri ini.

“Pupuklah budaya berkasih sayang” suatu yang sering diungkapkan oleh Peja Azumu.Ungkapan ini biasa-biasa saja namun hasilnya amat luar biasa dalam usaha merangka sebuah kecemerlangan,” katanya.

Katanya lagi, berikutan senario selepas pilihan raya umum ke-14 yang lalu, Pakatan Harapan Perak hanya memenangi 29 kerusi, Barisan Nasional 27 kerusi dan PAS 3 kerusi pada PRU 14 yang lalu telah menyebabkan penubuhan kerajaan Perak menjadi agak rumit kerana tiada mana-mana parti yang mempunyai sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan.

Namun situasi itu berubah apabila dua wakil rakyat dari Barisan Nasional iaitu Datuk Zainol Fadzi selaku ADUN Sungai Manik dan Datuk Nolee Ashikin Mohd Radzi telah membuat keputusan untuk menyokong pembentukan kerajaan Pakatan Harapan Perak sekaligus merealisasikan hasrat rakyat negeri Perak yang mahukan negeri ini ditadbir oleh sebuah kerajaan baru.

“Masih belum terlewat kiranya ARMADA PPBM Perak mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat ini atas pengorbanan besar mereka meninggalkan parti yang mereka wakili sebelum ini yang mendapat sokongan majoriti rakyat di kawasan mereka.

“Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk menjelaskan pada para pengundi dikawasan mereka dalam tempoh terdekat ini namun demi kepentingan yang lebih ramai iaitu keseluruhan rakyat negeri Perak kedua-dua wakil rakyat ini cekal dalam membuat keputusan yang disifatkan berani dan berjiwa besar ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");