Perak Hari Ini

Latihan Kemahiran:Selaraskan Tugas Kementerian Elak Pertindihan

IPOH:Penyelarasan berkaitan latihan kemahiran perlu diteliti semula agar setiap kementerian yang terlibat dalam sektor tersebut tidak menjalankan cabang tugas yang sama, kata Menteri Sumber Manusia M.Kulasegaran.

Beliau akan memberi cadangan pada sesi kabinet kelak bagi memastikan tidak wujud pertindihan tugas antara kementerian yang disifatkan satu pembaziran.

“Kita perlu hentikan pertindihan tugas dan persaingan antara kementerian tersebut, kita semua satu keluarga dan jika satu keluarga perlu ada satu keutamaan pada satu pihak dan saya akan cadangkan pada kabinet untuk diselaraskan kelak,” katanya selepas mengadakan lawatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada pihak kementerian berhasrat menyelaraskan pengurusan latihan kemahiran terdahulu melibatkan beberapa agensi iaitu Kementerian Sumber Manusia,Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Apa yang kita buat adalah pembaziran, seperti contoh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan kerana ia melakukan perkara yang sama dengan Kementerian Pengangkutan ia seperti satu kementerian dalam kementerian,buat apa seperti tiada tujuan.

“Namun perkara ini akan dilihat kerana ia bukan perkara baru,” katanya.

Katanya lagi,latihan kemahiran tidak memerlukan persaingan dengan sektor kerajaan sebaliknya memerlukan persaingan dengan pihak swasta serta negara luar untuk menjadi yang terbaik.

“Kita mahu menjadi yang terbaik bukanya bersaing antara adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, M.Kulasegaran turut memberi saranan agar langkah proaktif diambil untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak terutama sektor swasta bagi menarik penyertaan para pelajar sekaligus mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, berkualiti dan berdaya saing.

“Penglibatan pelajar dalam bidang kemahiran adalah penting kerana latihan kemahiran adalah asas kepada perkembangan industri negara.

“Kita perlukan mereka untuk meningkatkan kemahiran dan kerjasama serta kolaborasi dengan pihak lain terutama pihak swasta perlu dipertingkatkan,” katanya.

Katanya, hasil perjumpaan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini telah menekankan tentang perlunya penglibatan pelbagai industri serta penyediaan pusat kemahiran yang lebih baik supaya lebih ramai mendapat latihan dan menjadi terlatih sekaligus meningkatkan pendapatan negara.

“Kita sudah 60 tahun lambat dan kita perlu kejar kembali supaya setaraf dengan negara luar,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");