Berita Hari Ini

Malaysia Tidak Akan Berganjak, Pastikan Keadilan Untuk Mangsa MH17

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berganjak dalam usahanya untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap tragedi Penerbangan MH17 Malaysia Airlines pada Julai 2014 dikenakan hukuman.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia dan anggota lain dalam Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang diketuai Belanda itu tidak akan berhenti rehat selagi tidak mendapatkan keadilan untuk mangsa-mangsa MH17 yang tidak berdosa dan memberi penutup kepada keluarga mereka.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat bersama oleh Duta Belanda ke Malaysia Karin Mossenlechner dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski.

Kenyataan mengenai kunjungan hormat itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar pada Rabu.

Pada pertemuan itu, mereka membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk isu pengangkutan dua hala, MH370 serta perkembangan terkini berhubung MH17.

“Loke juga memuji JIT berhubung perkembangan penyiasatan dan mengulangi pendirian Malaysia seperti yang dinyatakan dalam kenyataan kerajaan yang dikeluarkan pada 25 Mei 2018,” demikian menurut kenyataan itu lapor Bernama.

Loke mengulangi Malaysia meneliti penemuan terkini penyiasatan jenayah JIT secara berhati-hati dan menyeluruh selain turut menekankan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha kolektif JIT untuk mendapatkan keadilan.

Pada 25 Mei lalu, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan menyatakan Malaysia kekal tegas dalam usaha membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden MH17 ke muka pengadilan.

Dalam aspek ini, ia berkata Malaysia menghargai pembentangan laporan terkini JIT pada 24 Mei serta kemajuan penyiasatan jenayah dan kenyataan akhbar berkaitan.

Selepas empat tahun penyiasatan terhadap tragedi MH17, JIT merumuskan pesawat itu dijatuhkan oleh peluru berpandu Rusia, BUK TELAR.

Dalam kenyataan yang diterbitkan menerusi laman sesawangnya, JIT berkata pasukan itu yakin sebuah BUK TELAR telah digunakan untuk menembak jatuh MH17 dan ia datang daripada Briged Peluru Berpandu Antipesawat ke-53 (Briged 53) iaitu satu unit dalam pasukan tentera Rusia dari Kursk dalam Persekutuan Rusia.

Anggota JIT yang menyiasat insiden itu merangkumi pendakwa raya dan polis Belanda serta lain-lain dari Australia, Malaysia dan Ukraine.

Pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines itu dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di ruang udara zon konflik di selatan Ukraine. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terkorban.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");