Sukan Hari Ini

Maradona Mengalami Masalah Kesihatan

St Petersburg: Anggota paramedik terpaksa memberi rawatan kecemasan kepada legenda Argentina, Diego Maradona selepas beliau dilihat mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba sejurus meraikan gol kedua negaranya ketika bertemu Nigeria, awal pagi tadi.

Maradona, 57, sering dilihat beremosi di sepanjang perlawanan di Saint Petersburg apatah lagi Argentina perlu menang untuk terus kekal.

Apabila Marcos Rojo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86, Maradona dilihat bersandar di dinding tempat duduk VIP sambil memberikan tabik hormat sebelum menjerit meraikannya.

Rakaman video selepas itu menunjukkan bekas pemenang Piala Dunia 1986 itu tidak sihat dan sukar berjalan hingga menyebabkan beliau terpaksa dipapah beberapa individu lain untuk ke bilik rehat VIP.

Beberapa jurugambar sempat merakamkan dua anggota paramedik beruniform tampil merawat Maradona dengan salah seorang daripada mereka mengambil bacaan tekanan nadinya.

Media Argentina melaporkan, Maradona mengalami gangguan tekanan darah.

Akhbar Argentina, Ole pula menyebut Maradona sudah boleh berjalan pulang ke hotel penginapannya.

Maradona pernah mengalami beberapa siri masalah kesihatan termasuk ketagihan kokain. Pada 2007, beliau dilaporkan hampir meninggal dunia. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");