Sukan Hari Ini

Messi Mangsa layanan Tidak Adil, Kata Sampaoli

PENGURUS Argentina, Jorge Sampaoli, sekali lagi menyanjung Lionel Messi selaku pemain terbaik di dunia sambil mengutarakan bahawa penyerang itu menjadi mangsa layanan tidak adil gara-gara kegagalannya menjaringkan sepakan penalti ketika berdepan Iceland, Jumaat lalu.

Messi melihat sepakan penaltinya itu diselamatkan penjaga gol, Hannes Thor Halldorsson, tatkala Argentina dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D itu.

Gara-garanya juga, La Albiceleste kini menanggung tekanan berganda menjelang perlawanan kedua awal pagi esok menentang Croatia, yang membuka kempen mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Nigeria.

Sampaoli yakin pasukannya sudah mengatasi kekecewaan awal mereka dan sekali lagi menegaskan bahawa Messi tidak boleh dipertanggungjawabkan secara bersendirian terhadap nasib mereka sepanjang kempen di Russia kali ini.

“Kami berasa hampa kerana tidak menang perlawanan pertama, namun saya percaya kami telah mengatasinya,” kata Sampaoli dalam sidang media di Nizhny Novgorod, venue perlawanan menentang Croatia.

“Leo tidak boleh menggalas semua tanggungjawab. Kita bercakap mengenai Piala Dunia yang membabitkan berjuta-juta orang.

“Kita boleh terlepas satu sepakan penalti. Kami mempunyai seluruh pasukan di sini dan kami perlu bersatu-padu dalam mengharungi detik-detik baik mahupun buruk.

“Kadang-kala bola sepak memberikan anda kejutan-kejutan tidak menyenangkan,” katanya, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

Membincangkan kritikan yang menghujani Messi sejak beberapa hari kebelakangan, Sampaoli menambah: “Ia sentiasa mengenai apa yang saya selalu katakan: Apabila anda menjaringkan gol dalam jersi Argentina, kami semua menerima pujian tapi apabila Argentina tewas, ia adalah angkara Leo. Itu adalah layanan yang tidak adil.

“Ia satu tekanan terlalu berat untuk dipikul oleh seorang pemain. Jadi, saya perlulah mengatakan saya juga berasa bertanggungjawab kerana terlepas sepakan penalti itu dan saya akan akan meraikan gol-gol Messi seperti warga Argentina yang lain.

“Dia adalah pemain terbaik di dunia dan jelas sekali adalah mustahil untuk seorang pemain menukar situasi perlawanan secara keseluruhan. Dia tidak boleh dipersalahkan atas sebarang kekalahan.”

Ramai yang mencadangkan bahawa Messi perlu mengemudi pasukan negaranya menjuarai Piala Dunia untuk diangkat sama hebatnya dengan ikon Argentina, Diego Maradona.

Ditanya pendapatnya mengenai perkara itu, Sampaoli berkata: “Orang suka membuat perbandingan untuk membeza-bezakan di antara generasi berbeza

“Bersama Argentina, Leo hanya pernah tewas lima atau enam perlawanan daripada kira-kira 75 yang dia telah beraksi, maka Leo adalah tunjang utama pasukan, sama seperti Diego pada zamannya.

“Setiap warga Argentina, bagaimanapun, berhak untuk mempunyai pendapat masing-masing,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");