Berita Hari Ini

Mungkinkah Najib Pemimpin Paling Lemah Di Dunia?

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menjadi pemimpin paling lemah di dunia jika benar dakwaannya tidak mengetahui kemunculan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke dalam akaun peribadi.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, jika tidak, Najib sekadar berbohong semasa ditemu bual oleh agensi media asing, Reuters, bagi menangkis segala dakwaan pelbagai salah laku terhadap dirinya, semalam.

“Saya tidak fikir Najib begitu bodoh, tak cekap atau pak pandir. Maknanya ketika itu dia sekadar menipu semasa ditemu bual Reuters,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Dalam temu bual bersama Reuters, Najib berkata, beliau tidak sepatutnya dipersalahkan terhadap skandal 1MDB yang membabitkan berbilion dolar dan mendakwa tidak mengetahui apa-apa mengenai wang daripada dana itu yang muncul dalam akaun peribadinya.

Najib juga mempunyai penjelasan mengenai sejumlah wang tunai, beg tangan mewah dan barang kemas yang dirampas dari rumahnya oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Beliau juga menyalahkan penasihatnya dan lembaga 1MDB kerana tidak mendedahkan dakwaan berkenaan kepada dirinya.

Kit Siang menyelar Najib dengan berkata, penasihatnya, pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB tidak merahsiakan penggelapan dana itu daripadanya kerana ia telah didedahkan melalui saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sebelum ini.

“Najib bukannya dimangsakan oleh para penasihat, pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB sebaliknya Najib akan mengorbankan sesiapa saja yang cuba menghalang keinginannya,” dakwanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, sedar atau tidak, Najib bertindak lebih jauh semasa ditemu bual Reuters, apabila daripada sekadar menafikan skandal itu, dia kemudiannya menyalahkan orang bawahannya.

“Memang jelas Najib ketakutan dengan pendedahan skandal 1MDB di mahkamah. Atas alasan itu Najib tidak berani meneruskan ancamannya untuk menyaman Wall Street Journal pada Julai 2015 kerana menyiarkan laporan berhubung dana RM2.6 bilion itu.

“Adakah Najib sedang membuka laluan baru dengan meletakkan dirinya pada kedudukan strategik dengan mengakui skandal 1MDB memang wujud tetapi dia tidak bersalah atau tidak boleh dipertanggungjawabkan?” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");