Panasnya Hari Ini

Peguam Uruskan Isu Wang Tunai Didakwa Milik UMNO – Zahid

AYER KEROH: UMNO menyerahkan kepada peguam berhubung isu wang tunai RM116.7 juta yang dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa milik parti berkenaan.

Wang tunai berkenaan dirampas di beberapa kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas Presiden, berkata perkara berkenaan akan diselesaikan mengikut peraturan dan perundangan.

“Kita akan menyerahkan kepada peguam mengikut ‘rule of law’ (peraturan perundangan) yang sedia ada bagi menguruskan dan mengaturkan mengikut peraturan dan perundangan,” katanya.

Beliau yang juga calon Presiden UMNO berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sesi Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO Malaysia 2018 – 2021 di Dewan Bistari, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh meminta individu yang mempunyai maklumat wang tunai itu milik UMNO untuk tampil memberi keterangan.

Malah, Amar Singh berkata, hingga kini tiada individu tampil memberi keterangan bagi mengesahkan wang berkenaan sememangnya milik parti terbabit.

Sebelum ini, Najib dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa wang tunai yang dirampas adalah wang sumbangan diterima bagi kegunaan kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu turut dipertahan oleh pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad yang turut menyatakan wang yang dirampas polis dalam serbuan di beberapa unit kondominium di Pavilion Residences adalah dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO serta Ahmad Zahid turut meminta PDRM memulangkan wang yang dirampas berikutan ia adalah baki sumbangan kempen dan diperlukan parti itu bagi menguruskan semula UMNO.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");