Berita Hari Ini

Pemimpin Tamak Punca Organisasi Gagal – TPM

SUBANG JAYA: Pemimpin yang tamak dan ‘buta hati’ adalah punca utama sesebuah pentadbiran organisasi itu gagal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mengambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Enron di Amerika Syarikat, kedua krisis berkenaan berlaku berikutan pemimpin lupa mengenai tanggungjawab dan mengabaikan prinsip mereka.

“Segala perlindungan dan undang-undang di dunia tidak akan dapat membantu sekiranya mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakannya tidak telus.

“Dalam semua kegagalan ini, ia turut membabitkan peraturan sedia ada, mekanisme tadbir urus dan sistem pelaporan.

“Malah, mereka yang terbabit dalam krisis berkenaan mula tamak dan berhenti mendengar ‘suara hati’ masing-masing,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Tanggungjawab Korporat dan Pembangunan Mapan ASEAN 2018 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), di sini hari ini, lapor BH Online.

Dalam usaha memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Dr Wan Azizah berkata, menjadi keperluan untuk mengenalpasti pegawai yang benar-benar ikhlas untuk menjalankan komitmen berkenaan.

Beliau juga menekankan bahawa inisiatif itu mesti diterajui oleh mereka yang benar-benar komited terhadap matlamat, dan bukan menggunakannya sebagai peluang untuk menaikkan diri sendiri.

“Ia tidak boleh dianggap sebagai satu lagi trend. Pemimpin perlu komited dan bukan hanya terbabit dalamnya, “katanya.

Beliau turut menegaskan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) mestilah mempunyai objektif yang jelas supaya dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat.

“Banyak perkara boleh diperbaiki jika sesebuah organisasi memastikan aktiviti CSR mereka mampu menberi manfaat kepada komuniti dan bukan sekadar meraih publisiti.

“Disebabkan terlalu tergesa-gesa ingin memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pemimpin kebiasaannya tidak menekankan nilai murni.

“Malah, dalam dunia perniagaan, kita diajar supaya tidak mengenepikan nilai murni untuk mencapai tahap kecekapan yang tinggi dan pulangan ke atas pelaburan (ROI),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");