Perak Hari Ini

Pemuda UMNO Bukit Gantang Desak Ahli Parlimen Letak Jawatan

TAIPING:Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang mendesak agar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meletakkan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih Ahli Parlimen yang baru.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie berkata keputusan Ahli Parlimen itu yang mengumumkan keluar dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi wakil rakyat bebas hari ini telah melukakan dan menguris hati seluruh jentera dan pengundi yang menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Kemenangan BN di Bukit Gantang sebenarnya bukan di atas faktor mana-mana individu tertentu tetapi berkat kerja keras dan pengorbanan seluruh jentera BN Parlimen Bukit Gantang.

“Hakikatnya, kemenangan BN pada PRU ke 14 yang lalu menunjukkan penyusutan sokongan
pengundi kepada Barisan Nasional berbanding keputusan PRU-13,” katanya.

Berikutan itu katanya, akar umbi parti beranggapan perlu wujud satu transformasi kepada struktur UMNO di Bahagian
Bukit Gantang agar mampu kembali relevan kepada rakyat di Parlimen Bukit Gantang.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa wujud 15 cawangan yang sengaja dimatikan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang tegas Sollehin sebagai tidak berasas kerana kesemua 15 cawangan tersebut gagal mengadakan persidangan mengikut peraturan Fasal 19.3 yang berada di dalam peraturan yang ditetapkan oleh pergerakan pemuda UMNO Malaysia.

“Pemilihan sayap UMNO yang berlangsung pada 23 Jun 2018 yang lalu adalah merupakan ruang bagi menunjukkan keterbukaan dan demokrasi dalam parti UMNO ini.

“Seperti yang sedia maklum, pemilihan bagi Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang melibatkan
pertandingan bagi seluruh jawatan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan Ahli Jawatankuasa serta melibatkan 29 orang calon yang menawarkan diri.

“Proses pemilihan ini, melibatkan 42 cawangan yang telah sah bersidang dan dipersetujui di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambahan lagi, dakwaan wujudnya
budaya politik wang adalah satu tuduhan serkap jarang tanpa bukti.

“Ia adalah tuduhan berniat jahat dan menjatuhkan kredibiliti Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang. Saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang sedia di siasat oleh mana-mana pihak berkaitan tuduhan jahat ini,” katanya.

Persidangan sayap pemuda UMNO yang lalu dakwa Sollehin turut dicemari dengan sikap tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Bukit Gantang yang cuba mensabotaj dan mengagalkan persidangan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Malah beliau menyifatkan tindakan Syed Abu Hussin sebagai satu pengkhianatan kepada para pengundi dan penyokong UMNO.

“Pihak pergerakan Pemuda UMNO Bahagian
Bukit Gantang mempunyai bukti yang kukuh bahawa wujudnya unsur sabotaj pada persidangan tersebut.

“Sesungguhnya alasan yang diberikan oleh beliau adalah semata-mata bagi menghalalkan tindakan beliau keluar daripada parti dan ia adalah bersifat individu dengan menjadikan sayap Pemuda sebagai kambing hitam.

“Kami medesak beliau bertanggungjawab atas pengkhianatan ini.Walau apa jua yang berlaku, kami selaku jentera sayap kanan UMNO Bahagian Bukit Gantang akan terus beristiqamah dan setia dalam perjuangan ini bersama-sama dengan seluruh keluarga besar UMNO Bahagian Bukit Gantang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");