Panasnya Hari Ini

Pertandingan Terbuka Dalam UMNO Tanda Perubahan Positif

KOTA KINABALU: UMNO adalah sebuah parti demokratik di mana sesiapa saja (ahli) boleh bertanding bagi jawatan dalam parti itu, kata Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Mana-mana ahli boleh menawarkan diri mereka untuk bertanding dalam apa saja jawatan dalam parti dan terpulang kepada wakil bahagian untuk membuat pertimbangan serta pilihan (calon jawatan presiden dan timbalan presiden),” tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung pemimpin tertentu yang akan bertanding.

Semalam, Tengku Razaleigh Hamzah mengumumkan untuk bertanding jawatan presiden UMNO menentang pemangku presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid juga dilaporkan mengalu-alukan keputusan Razaleigh untuk bertanding menentangnya.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti pada hujung bulan ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang berkata, pertandingan untuk dua jawatan tertinggi, jika dijalankan secara teratur dan demokratik, akan mendorong parti ke arah yang positif.

“Ia tidak dapat dielakkan (pertandingan), akan ada pelbagai reaksi di kalangan anggota UMNO sama ada mereka akan bersetuju atau sebaliknya.

“Tetapi, langkah ini menunjukkan UMNO sedia berubah untuk memberi manfaat kepada parti serta kelangsungan UMNO dalam lensa politik negara,” katanya lapor NSTP.

Tambah Tony lagi, Razaleigh, 81, yang juga dikenali sebagai Ku Li, akan memberikan mesej penting dalam memulihkan reputasi UMNO melalui kesediaannya mahu bertanding menjadi presiden parti itu.

“Ku Li adalah seorang ahli politik veteran yang mempunyai pengalaman yang luas dan sudah menghadapi pertandingan politik UMNO sejak dulu lagi.

“Imejnya yang dianggap ‘bersih’ dan ‘neutral’ diharapkan dapat meyakinkan ahli UMNO dan meningkatkan reputasi parti, serta memperbaharui UMNO sebagai parti yang relevan untuk orang Melayu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");