Berita Hari Ini

PH Mahu Kembalikan Urusan Islam Kepada Raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Amanah Nasional (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, tegas dengan pendirian bahawa Pakatan Harapan (PH) mahu mengembalikan peranan Raja-raja Melayu sebagai penjaga kepentingan Islam dalam kerangka negara dan membebaskan Islam daripada dieksploitasi sebagai alat politik dan radikalisasi.

Beliau berkata, ini kerana Raja-raja Melayu adalah institusi yang tidak mempunyai kepentingan politik dan boleh berperanan mengekang dan memastikan Islam tidak dipolitikkan, sebaliknya memastikan Islam menjangkau lebih daripada kepentingan politik dan bangsa.

Menerusi laporan BH Online, katanya, fenomena agama dipolitikkan sebagai alat dalam kerangka negara tanpa disedari telah membelakangkan fungsi utama Raja-raja Melayu sebagai penentu dasar pentadbiran Islam seperti termaktub dalam dalam Perlembagaan.

“Mengembalikan fungsi Raja- raja Melayu dalam pentadbiran Islam adalah tunggak utama untuk memulakan reformasi atau Islah yang dimaksudkan oleh PH,” katanya dalam akaun Facebook parti itu.

Beliau berkata, sejak isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkatakan susulan cadangan mengkaji semula fungsi dan peranan jabatan itu baru-baru ini, wujud pelbagai reaksi, termasuk dakwaan kononnya JAKIM akan dihapuskan.

Sebaliknya, beliau mendakwa mereka tidak melihat gambaran lebih besar hasrat PH untuk membebaskan pentadbiran Islam daripada menjadi ‘tunggangan’ pihak berkepentingan, sama ada kelompok politik mahupun kelompok pengganas atau golongan agamawan.

Katanya, ia bukan isu JAKIM hendak dihapuskan atau tidak, sebaliknya ia usaha PH mengembalikan semangat dan amalan bahawa Islam itu menjangkau semua kepentingan politik dan untuk memulakan proses itu, ia perlu dikembalikan kepada kuasa Raja-raja Melayu supaya usaha reformasi pentadbiran Islam dapat berjalan lancar.

“Kebimbangan kepada sesuatu yang baru adalah tanda positif tentang perasaan mahu yakin bahawa sesuatu perubahan akan menguntungkan kita atau tidak. Begitu juga kebimbangan bagi sesetengah pihak ini turut dikuasai sikap prejudis dan pesimis terhadap apa sahaja yang baharu.

“PH konsisten sejak awal lagi menyatakan hasrat mahu membawa reformasi institusi negara. Sementara isu kebobrokan tatakelola kewangan negara di bawah Barisan nasional (BN) menjadi topik utama, isu reformasi pentadbiran agama Islam juga sebenarnya berada dalam pelan reformasi menyeluruh PH,” katanya.

Dr Mujahid juga menjelaskan bahawa semua pihak harus akur bahawa mengkritik pentadbiran agama bukan bermakna mengkritik intipati agama kerana aspek pentadbiran adalah atas usaha daya manusia yang terdedah kepada kelemahan dan kesilapan.

“BN selama ini melalui institusi agama mendoktrinkan seolah-olah mengkritik institusi agama seperti JAKIM, Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah adalah seperti memandang rendah kepada agama Islam itu sendiri. Ini doktrin yang songsang dan mendedahkan Islam menjadi ‘tunggangan’ pihak tertentu,” katanya.

Menurut beliau, ia amat berbahaya kepada pentadbiran Islam yang senantiasa dianggap jumud dan tidak profesional kerana merasakan ia bukan sahaja tidak boleh ditegur dan dikritik, malah lebih buruk lagi, institusi itu ada nama Islam sedangkan Islam menuntut profesionalisme dalam konsep pemulihan berterusan.

“Amat membimbangkan lagi ialah institusi Islam ini dipolitikkan bagi tujuan persaingan untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik. Institusi Islam juga menjadi platform doktrinasi permusuhan antara kaum dan agama melalui teori konspirasi yang tidak terbukti.

“Siapa yang berani pertikaikan mereka kerana mereka ‘mewakili Islam?’ Sepatutnya institusi Islam mendekatkan hubungan antara agama seperti diperintahkan bukan menanam bibit kebencian seperti yang dilarang oleh Islam,” katanya.

Beliau juga memberikan contoh dengan mendakwa isu RUU 355 adalah taktik politik semata-mata untuk meraih sokongan politik tanpa ada tanggungjawab kesatuan ummah sehingga ramai yang jadi ‘kafir’, ‘anti-Islam’, ‘liberal’ dan kerajaan BN membiarkan ‘penunggang agama’ berleluasa tanpa kawalan, malah mengambil kesempatan untuk membuktikan keislamannya dalam isu ini.

Dr Mujahid juga berkata, Islam menjangkau politik dan kepartian, selain adalah cara hidup dan teras kepada kewujudan negara.

Namun, katanya, bagi sesetengah pihak, agama menjadi alat radikalisasi untuk mencapai maksud ‘kebenaran mutlak’ dari partinya dan kelompoknya, justeru bibit pemikiran keganasan menjadi medan subur menggugat keselamatan negara.

“Di mana peranan institusi Islam membendung semua ini? Lebih buruk kerajaan BN sebelum ini membiarkan radikalisasi terancang untuk kepentingan politik mereka melalui institusi Islam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");