Sukan Hari Ini

Piala Dunia 2018: Pengecualian Visa Ke Rusia

RUSIA memberikan pe­ngecualian visa kepada penyokong di semua negara yang ingin menyaksikan aksi Piala Dunia 2018 sepanjang sebulan kempen itu berlangsung di negara tersebut pertengahan bulan ini.

Pelepasan visa tersebut akan bermula Isnin ini sehingga 15 Julai dan bagi penyokong yang ingin melanjutkan tempoh tersebut mereka perlu memohon di kedutaan negara masing-masing di Moscow.

Memetik laporan Kosmo Online, Duta besar Rusia di Malaysia, Valery Yermolov memberitahu, peminat perlu mendapatkan FAN ID atau kad akreditasi penyokong terlebih dahulu bagi memperoleh pelepasan percuma sebelum berkunjung ke Rusia.

“Setiap individu perlu mendaftar terlebih dahulu secara atas talian dan melengkapkan beberapa dokumen penting yang diperlukan bagi mendapatkan FAN ID.

“Langkah tersebut juga bertujuan memudahkan perjalanan peminat tegar bola sepak pergi ke Rusia bagi menyokong pasukan kesayangan mereka,” kata Yermolov pada sidang akhbar di Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.

Sebelum ini semua pengunjung yang ingin ke Rusia perlu mempunyai visa dan kebiasaan pelancong dibenarkan berada selama 30 hari di negara berkenaan.

Pada masa sama, negara tuan rumah tersebut juga menyediakan kemudahan kepada beberapa media minoriti yang tidak mendapat kad akreditasi untuk memasuki 12 stadium yang melangsungkan perlawanan untuk edisi kali ini.

“Kepada mana-mana media yang tidak mendapat pelepasan rasmi dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pusat media kami bakal menyediakan kemudahan bagi memastikan mereka tidak terlepas sebarang maklumat penting sepanjang Piala Dunia berlangsung.

“Pusat media bakal mengatur sidang akhbar serta memberikan pautan secara menyeluruh dan mereka juga tidak akan terlepas menyaksikan setiap perlawanan kerana semuanya akan disiarkan secara langsung,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");