Jenayah

Remaja 13 Tahun Terselamat Dari Terbakar Hidup-Hidup

LANGKAWI: Nyawa seorang remaja perempuan 13 tahun nyata masih panjang apabila dia hampir maut dalam kejadian kebakaran membabitkan rumahnya di Jalan Nyior Cabang, Langkawi malam tadi.

Pelajar tingkatan satu itu nyaris pitam apabila dia mengalami sesak nafas selepas cuba menyelamatkan diri ketika rumahnya dijilat api dan asap tebal memenuhi setiap ruang.

Menurut Komander Operasi Zon 4, Timbalan Penguasa Bomba Johari Lazim, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.45 malam dan mendapati mangsa terbaring di luar rumah tersebut selepas diselamatkan oleh pihak keluarga.

Jelas beliau, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dikerahkan ke tempat kejadian yang membabitkan kediaman dua tingkat.

Pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut dalam tempoh 15 minit lapor Astro Awani.

Namun kediaman itu mengalami kemusnahan lebih 70 peratus dan punca serta nilai kerugian masih lagi disiasat.

Remaja berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");