Perak Hari Ini

Sambutan Nuzul Al-Quran: Sultan Perak Rasmi Masjid Al-Hidayah, Lahat

LAHAT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri dan Perasmian Masjid Al Hidayah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Pegoh Seberang, dekat sini.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada jam 7.00 petang disambut dan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri,Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi yang mewakili Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu

Kemudiannya, upacara menanam pokok di perkarangan masjid yang disempurnakan Baginda menjadi simbolik kepada perasmian majlis.

Selepas itu, majlis diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Imam Utama Masjid Panglima Kinta, Qamaruzzaman Daud,  sebelum Sultan Nazrin berkenan merasmikan Masjid Al-Hidayah.

Turut kelihatan hadir ke majlis, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Usai perasmian, majlis diteruskan dengan acara berbuka puasa dan solat maghrib yang disertai lebih 1,000 orang penduduk setempat.

Dalam majlis sama, turut disaksikan acara penyampaian zakat Aidilfitri kepada lapan orang penghulu mukim yang mana ia terdiri daripada Penghulu Mukim Ipoh, Ulu Kinta kawasan Lahat, Ulu Kinta kawasan Tanjung Rambutan, Ulu Kinta kawasan Chemor, Sungai Raia, Sungai Terap, Tanjung Tualang dan Penghulu Mukim Belanja-Tronoh.

Jumlah keseluruhan zakat yang bernilai RM1.174 juta itu disumbangkan oleh Majis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan ianya akan diagihkan kepaada 4,697 orang asnaf.

Selain itu, Masjid Al-Hidayah turut menerima sumbangan daripada agensi yang sama, berjumlah RM10,000.

Sumbangan disampaikan Sultan Perak sambil diringi Asmuni.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan.

Kemudiannya Baginda berkenan berangkat ke majlis moreh bersama tetamu dan masyarakat yang hadir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");