Panasnya Hari Ini

Saya Tak Merangkak Untuk Jumpa Dr M, Kata Zahid

PETALING JAYA: Pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau merayu Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengatur pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 9 Jun lalu.

Beliau turut menyifatkan Khairuddin yang juga bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan sebagai penipu.

“Saya tidak pernah merangkak dan bukan saya yang meminta untuk berjumpa Tun Dr Mahathir.

“Datuk Khairuddin yang menuduh saya, penipu itulah yang sebenarnya menghubungi dan mengatur perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir,” katanya dalam Facebooknya malam tadi.

Terdahulu, Khairuddin dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, Zahid menghubunginya supaya mengatur perjumpaan dengan pengerusi PH itu.

“Selepas beliau merayu kepada saya untuk berjumpa Dr Mahathir, saya susun untuk beliau berjumpa perdana menteri,” kata Khairuddin.

Bagaimanapun, Zahid dalam ucapannya kepada ahli Umno Selangor kelmarin berkata, pertemuan itu dibuat atas permintaan Dr Mahathir.

“Bukan saya yang minta bertemu, tetapi saya dijemput untuk bertemu,” kata Zahid.

Calon presiden Umno itu juga berkata, Dr Mahathir meminta ahli Umno menyertai PPBM dalam pertemuan mereka pada awal bulan ini.

“Apa yang disebut oleh perdana menteri, antaranya beliau meminta supaya ahli Parlimen Barisan Nasional, khususnya Umno untuk menyertai PPBM atau parti Bersatu, saya menjawab dengan tegas tidak ada jalan bagi kita untuk menyertai parti berkenaan,” kata Zahid.

Pada Khamis, Zahid turut menafikan meminta nasihat Dr Mahathir untuk menguruskan parti itu dalam pertemuan awal bulan ini kerana beliau dan rakan dalam Majlis Tertinggi tahu cara menguruskan Umno tanpa perlu campur tangan pihak ketiga.

Zahid dalam catatan Facebook malam tadi berkata, apa yang disampaikan dalam ucapannya kepada ahli Umno kelmarin adalah benar dan orang luar tidak perlu masuk campur.

“Saya berkata benar kepada ahli-ahli Umno. Orang luar tidak perlu masuk campur dan membuat pelbagai andaian dan dakwaan apa yang saya sampaikan demi kepentingan dan kebaikan Umno.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");