Berita Hari Ini

Siapa Kata Kajian Semula Jakim Untuk Mansuhkannya? – Pengarah IPDM

ALOR SETAR: “Jangan buat andaian mahupun tanggapan buruk susulan keputusan kerajaan untuk mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).”

Itu tegas Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri yang yakin kajian itu akan memperincikan tentang kekurangan peranan jabatan itu sekali gus akan memperbaiknya agar badan itu lebih lancar dan efisien.

“Kita jangan cepat melatah. Apa yang Tun Dr Mahathir katakan ialah untuk mengkaji semula, dia tidak pernah kata untuk menghapuskannya.

“Apabila kita kaji semula sesuatu perkara itu menunjukan kita mungkin nampak lompong yang perlu diperbaik,” kata Ahmad Zaharuddin Sani lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bakul Ramadan 2018 IPDM di Taman Melati fasa 2 di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.

Dalam majlis itu, seramai 40 keluarga kurang berkemampuan terpilih untuk menerima sumbangan berbentuk makanan asas.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, Rabu lalu, Tun Mahathir berkata peranan JAKIM akan dibincangkan semula dengan mengumpulkan sejumlah ilmuwan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan jabatan berkenaan.

Langkah berkenaan diambil bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dahulu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) agar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka kepada kaum lain, Ahmad Zaharuddin Sani meminta agar badan itu tidak menceroboh ‘bilik’ orang lain.

“Kepada Hindraf, analoginya jika kita bina sebuah rumah, rumah itu sudah ada bilik-bilik yang tertentu yang telah termaktub milik siapa.

“(Oleh itu, jangan sesekali kita menceroboh bilik orang lain, kita jaga sendiri bilik kita. Mana kawasan yang kita berkongsi bersama — ruang dapur, ruang tamu, kita berkongsi bersama — tapi hal yang melibatkan status bilik sesuatu yang telah diberikan status kaum tertentu jangan diusik,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");