Perak Hari Ini

Sultan Perak Rasmi Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Agama Daerah Lenggong

LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Agama Daerah Lenggong, dekat sini.

Turut berkenan berangkat, Raja Muda, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Ketibaan Sultan Nazrin pada jam 10.20 pagi diringi Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan Baginda turut diringi Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan disambut barisan Exco kerajaan negeri serta Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Menteri Besar, dalam sembah ucapannya berkata, keputusan kerajaan negeri untuk menaiktaraf serta membina bangunan baharu Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong adalah selaras dengan keperluan pembangunan masa kini.

Ujarnya, pejabat tersebut merupakan nadi dan penghubung antara kerajaan dengan rakyat khususnya di peringkat akar umbi.

“Inisiatif membina kedua-dua premis kerajaan ini dharapkan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi setempat serta memberi limpahan manfaat kepada negeri.

“Diharapkan juga pembinaan premis ini akan memberi semangat baharu dan kelesaan kepada kakitangan jabatan selain memberi kemudahan kepada masyarakat di daerah Lenggong untuk berurusan,” katanya.

Usai sembah ucapan, Ahmad Faizal bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Ghazali Jalal; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Datuk Mohd Yusop Husin serta Pegawai Daerah Hulu Perak, Zulhisham Ahmad Shukori, mengiringi Sultan Nazrin ke upacara menandatangani plak sebagai simbolik perasmian majlis.

Bangunan baharu Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong itu telah siap dibina pada 29 Mac 2013 di atas tanah berkeluasan 63,000 kaki persegi serta menelan kos RM4.29 juta.

Dibina dengan reka bentuk moden dan terkini, bangunan tersebut dilengkapi sebuah bilik gerakan, yang mampu memuatkan 50 orang, 3 bilik mesyuarat kecil, sebuah bilil kebal, bilik server serta tiga ruang kerja yang mampu menempatkan sehingga 80 orang kaki tangan.

Berada di lokasi yang sama, bangunan Pejabat Agama Daerah Lenggong pula mula dibina pada 14 November 2011 dan siap pada 12 Disember 2013.

Berkeluasan lantai 1154.29 meter persegi, ia dibina dengan kos RM3.27 juta.

Jalan masuk ke pejabat tersebut juga diberi nama Jalan Tuan Haji Bukhari, sebagai pengiktirafan kepada Kadi Daerah, Bukhari Harun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");