Membawang Hari Ini

Tak Sengaja Duduk Atas Kubur, Vida Mohon Maaf

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman memohon maaf di atas tindakannya duduk di atas kubur bersebelahan pusara dua anak lelakinya.

Menurut Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, beliau tidak sengaja berbuat demikian kerana tidak menyedari ada tulisan jawi di keliling binaan kubur berkenaan.

“Saya minta maaf. Saya tak perasaan ada tulisan di keliling pusara itu.

“Saya duduk memandangkan tak bawa kerusi. Takkan nak duduk mencangkung pula.

“Kalau kita nak duduk kat kubur cuba netizen bagi cadangan… nak duduk bersila tikar tak bawa,” katanya, sebagaimana dilaporkan mStar Online.

Baru-baru ini, Vida memuat naik gambar beliau meziarahi pusara dua anak lelakinya yang meninggal dunia dalam kebakaran, lima tahun lalu di Instagram miliknya.

Mayat Eddie Zuhdi Mohd Amin, 11, dan adiknya Edrie Zikrie, 10, ditemui di bilik mandi sebuah rumah teres dua tingkat di Meru Hills, Taman Meru dekat Ipoh, Perak.

Kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan rumah lot tepi teres dua tingkat yang digunakan sebagai asrama untuk kakitangan Vida pada malam 3 Ogos 2013.

Pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu berkata, sudah menjadi rutin beliau menziarahi pusara dua anak lelakinya itu pada setiap Syawal pertama.

“Walaupun rumah saya ramai tetamu tetapi saya tetap nak pergi kerana sudah jadi kebiasaan saya ke sana setiap raya pertama,” katanya.

Tindakan Vida ternyata mengundang rasa kurang senang netizen dengan rata-rata pengikutnya di Instagram menyifatkan beliau sebagai tidak beradab.

Bagaimanapun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu soal jawab menjelaskan hukum duduk di atas binaan kubur adalah makruh.

“Binaan kubur dianggap sebagai kubur itu sendiri. Oleh itu, makruh untuk duduk di atas binaan kubur kerana ia dianggap sebagai duduk di atas kubur.

“Kesimpulannya, duduk di atas binaan kubur adalah seperti duduk di atas kubur dan makruh hukumnya. Maka seelok-eloknya kita menjaga adab ketika berada di tanah perkuburan dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar adab-adab,” demikian menurut penjelasan mengenai perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");