Berita Hari Ini

‘Terima kasih’, ‘I Love You’ Ucapan Paling Banyak – PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kebanyakan hadirin yang bersalaman dengannya hari ini mengucapkan ‘terima kasih’ dan ‘I love you’ kepadanya kerana menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan terdahulu.

Perdana Menteri berkata mereka yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 semalam menzahirkan rasa terima kasih tidak terhingga mereka.

“Ramai daripada mereka ucap terima kasih kerana menyelamatkan negara kita. Bukanlah saya seorang yang berjaya menumpaskan pemerintahan terdahulu (tetapi ia kerjasama semua).

“Mereka yang hadir hari ini memberi sokongan kuat kepada kami sehingga walau apa pun rintangan oleh pemerintah dahulu, mereka (pemerintah terdahulu) tidak berjaya selamatkan diri mereka.

“Inilah demokrasi. Demokrasi bermakna bahawa rakyat bebas untuk memilih kerajaan mereka, jika mereka dapati kerajaan itu sudah usang dan tidak sesuai lagi hanya dengan mengundi kita dapat tukar kerajaan di negara kita.

“Kita tidak perlu keganasan, peperangan atau permusuhan antara rakyat dengan pemerintah apabila pemerintah sedar bahawa rakyat sudah tidak lagi nak mereka, adalah baik mereka mengambil berat mengenai pandangan rakyat,” katanya ketika berucap di hadapan hadirin yang hadir semalam, lapor BH Online.

Hadir sama memeriahkan rumah terbuka berkenaan termasuk isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, antara anggota Kabinet yang hadir termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, dengan adanya perpaduan di kalangan semua kaum, insya-Allah negara kita akan menjadi aman.

“Dalam keamanan ini, dapatlah pulih semula negara kita ini dan kita dapat selesaikan masalah hutang yang berbilion -bilion yang dilakukan oleh pemerintah dahulu.

“Dengan kerjasama rakyat, keamanan dan keselamatan negara kita akan dapat kami pulihkan supaya semua rakyat pelbagai kaum akan hidup harmoni dan tidak tertekan dengan kezaliman kerajaan, insya-Allah.

“Inilah hasrat kerajaan Pakatan Harapan. Mudah-mudahan kami akan dapat tunaikan janji kami kepada rakyat.

“Terima kasih kerana ramai daripada rakyat yang menyatakan sokongan mereka malah ada yang berkata ‘I love you’. Kita tidak bagi sepanduk tertulis, I love PM tetapi semasa mereka bersalam, mereka nyatakan perkatakan ‘I love you’, terima kasih kepada mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");