Panasnya Hari Ini

Tiada BN Di Sarawak, UMNO Mungkin Cari Tapak

KUCHING: Ketiadaan parti politik di Sarawak yang mewakili Barisan Nasional (BN) dilihat membuka ruang bagi membolehkan golongan tertentu memanfaatkan kesempatan yang dinantikan selama ini bagi menzahirkan kewujudan UMNO di Sarawak.

Penganalisis politik, Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman, menyifatkan BN sudah pasti akan memikirkan kelangsungan ‘survival’ atau kemandirian politiknya dan ingin mengembalikan semula kegemilangannya.

“Dalam usaha untuk bangun semula, segala gerakan perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Sudah pasti rakan politik di Sabah dan Sarawak amat diperlukan bagi mencapai matlamat untuk kembali bangkit dan berkuasa.

“Parti politik tempatan kelihatan seolah-olah sudah tidak berminat manakala BN pula melihat sudah tidak punya harapan lagi untuk menjalinkan sebarang gandingan dengan pihak berkenaan.

“Jadi, adakah mungkin satu langkah berani yang diambil untuk keluar parti oleh kerajaan negeri bakal mencipta satu sejarah baharu dengan bertapaknya UMNO di bumi Sarawak?” katanya lapor Berita Harian.

Justeru, tegas beliau, jangan dianggap remeh terhadap isu yang dibangkitkan termasuk bisik-bisik di kedai kopi mengenai usaha untuk membawa UMNO ke Sarawak.

“Ingat, sejarah banyak membuktikan biarpun cakap-cakap itu hanya di kedai kopi, jika tidak dipandang serius ia boleh membawa kepada satu perubahan yang tidak terduga,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, mungkin ketika ini UMNO dan BN kelihatan sebagai parti yang semakin lemah dan bukan lagi sebagai satu cabaran besar dalam dunia politik semasa negara.

“Tetapi, jangan lupa, ambillah iktibar daripada sejarah politik Jepun sebagai contoh, apabila kita menyaksikan bagaimana perubahan sementara pemerintahan parti tonggak itu kembali berkuasa dalam hanya beberapa tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan mungkin perbandingan itu tidak begitu tepat dalam konteks Malaysia, namun ia bukan mustahil untuk berlaku.

“Ia harus dilihat sebagai antara cabaran besar yang bakal menanti dan sedang menjelma. Asal sahaja ada peluang dan ruang, golongan yang ‘berkebolehan’ ini akan merebutnya dengan serba serbi muslihat yang ada kalanya tak terfikir dek akal.

“Jika DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR dan PAS boleh bertapak di Sarawak, di mana rasionalnya untuk menidakkan kemungkinan ini (kehadiran UMNO) terutama tanpa kehadiran parti komponen BN pada waktu ini?” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");