Panasnya Hari Ini

Tidak Semestinya Zahid Jadi Ketua Pembangkang – KJ

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN tidak semestinya menjadi ketua pembangkang pada sidang pertama Parlimen yang dijadualkan pada 16 Julai ini.

“Langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen. Pengerusi BN tidak semestinya menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

“Malah, pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN. Tugas-tugas perundangan di parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri.

“Setelah ketua pembangkang dipilih di kalangan ahli-ahli Parlimen BN, satu kabinet bayangan perlu dibentuk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Susulan keputusan Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN berikutan kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Ahmad Zahid dilantik menjalankan tugas-tugas berkenaan.

Mengulas lanjut, bekas menteri belia dan sukan itu berkata, walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi. Ia bagi menyemak dan mengimbangi tugas menteri kerajaan.

Sebagai pembangkang, katanya, BN juga akan mengusahakan supaya peranan parlimen diperkukuhkan lagi.

“Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN,” katanya.

Beliau juga berkata, dirinya walau bagaimanapun sedar BN tidak akan diterima serta-merta sebagai sebuah pembangkang yang berwibawa, namun tetap akan memainkan peranan untuk menyemak dan mengimbangi Kerajaan Pakatan Harapan.

“BN juga wajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak hanya ‘membangkang semata-mata kerana kita pembangkang’ (oppose for opposition’s sake).

“Perlu diingat, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara. Sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Menurut Khairy, ini termasuk cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada sesi parlimen kali ini.

“Saya berpandangan, apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara, ahli-ahli Dewan Negara BN wajib memberi kerjasama kepada agenda yang dibawa oleh kerajaan.

“Sebagai contoh, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat tentang SST, ahli-ahli Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang ini kerana tanpa SST, kutipan hasil kerajaan akan terjejas dan ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

“Atas prinsip kepentingan negara dan ‘maslahah al-ammah’, BN mesti menyokong,” katanya.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");