Berita Hari Ini

165 Mati Dalam Kebakaran Tahun Lalu

SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 86,982 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran, penyelamatan, dan khidmat khas sepanjang tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, daripada jumlah itu, panggilan melibatkan kebakaran adalah sejumlah 29,356 panggilan, penyelamatan (54,884) dan khidmat khas (2,392).

“Panggilan palsu pula adalah sebanyak 350 panggilan. Secara purata, panggilan yang diterima JBPM adalah sebanyak 238 panggilan sehari.

“Jumlah keseluruhan panggilan juga menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding 92,307 panggilan pada 2016,” katanya dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan turut berkenan mencemar duli Tengku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama, Menteri Besar, Aminuddin Harun; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mentek; Ketua Pengarah JBPM, Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Menurutnya, panggilan kecemasan tahun lalu juga menunjukkan penurunan sebanyak 41 peratus berbanding 49,876 pada 2016.

“Ini satu perkembangan yang menggalakkan dan berharap penurunan ini disumbangkan oleh tahap kesedaran masyarakat menerusi kempen yang dilaksanakan JBPM.

“Daripada 83 peratus panggilan kecemasan yang diterima JBPM, pasukan keselamatan itu berjaya tiba di lokasi kejadian dalam tempoh masa kurang 20 minit,” katanya.

Zuraida berkata, beliau melahirkan rasa dukacita memandangkan angka kematian akibat kebakaran tahun lalu merekodkan sebanyak 165 orang, peningkatan sebanyak 54 peratus berbanding 2016.

“Taksiran kerugian dan kemusnahan harta benda pula sebanyak RM5.2 bilion pada tahun lepas meningkat sebanyak 81.81 peratus berbanding RM2.8 bilion pada 2016.

“Bagi taksiran harta yang diselamatkan juga meningkat sebanyak 42.29 peratus iaitu RM50.9 bilion berbanding RM35.8 pada 2016,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya memberi perhatian serius terhadap keperluan pencegahan kebakaran bagi sesebuah bangunan supaya mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Usaha memberi kesedaran keselamatan kebakaran kepada masyarakat juga akan diteruskan,” katanya.

Pada majlis itu yang dihadiri 3,000 hadirin, kesemua mereka disajikan dengan perarakan pelbagai jentera jabatan antaranya Pasukan Hazmat dan CBRne, Pasukan Penyelamatan Bangunan Tinggi, Bahagian Udara Bomba, Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA), Unit Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamatan Kemalangan Jalan Raya (RTA).

Hari Bomba Sedunia disambut seluruh dunia setiap 4 Mei namun tahun ini sambutan peringkat kebangsaan diadakan pada Julai untuk memberi laluan kepada PRU14 pada Mei lalu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");