Berita Hari Ini

Badan Peguam Malaysia Gesa Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Kanak-Kanak

BADAN Peguam Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan untuk mengkaji perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan isu lain berkaitan kanak-kanak di Malaysia.

Gesaan itu susulan kes perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dengan seorang kanak-kank perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan.

Presidennya George Varughese mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa perkahwinan itu adalah tidak sah.

Dalam satu kenyataan di sini malam ini, beliau berkata Badan Peguam Malaysia mencadangkan agar suruhanjaya yang dicadangkan itu diketuai oleh seorang pesuruhjaya yang mempunyai kuasa untuk menangani isu-isu seperti kekurangan dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta kekurangan penjagaan kanak-kanak dalam sistem keadilan juvana dan kebertanggungjawaban pelbagai agensi yang menangani isu kanak-kanak.

Beliau menarik perhatian bahawa antara 2005 dan 2015, seramai 10,240 lelaki Islam memohon untuk menikahi kanak-kanak perempuan sementara dari kalangan bukan Islam, terdapat 7,719 permohonan dari 2000 hingga 2014 untuk berkahwin dengan kanak-kanak perempuan berusia antara 6 dan 18 tahun.

Statistik ini tidak dapat diterima dan harus membangkitkan kesedaran tentang betapa seriusnya isu tersebut.

Semua perkara dan keputusan yang diambil berkaitan kanak-kanak mesti mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak sebagai yang perlu diutamakan, kata Varughese lapor Bernama.

Beliau berkata Badan Peguam Malaysia juga berharap agar kerajaan dapat melaksanakan pembaharuan undang-undang dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan buruk perkahwinan bawah umur terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak serta terdedah kepada risiko terhadap penderaan domestik dan seksual.

Beliau berkata kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang sihat kepada semua kanak-kanak di negara ini berdasarkan penerimaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");