Berita Hari Ini

‘Di Sebalik Jho Low, Hubungan M’sia-China Sentiasa Baik’

Hubungan dua hala antara Malaysia dan China sentiasa berada dalam keadaan baik, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara berkenaan akan terus dipertingkatkan berikutan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan ke China bulan depan

“Semasa lawatan itu, kita pastinya akan melihat terhadap hubungan ini. Hubungan kita dengan China sentiasa baik,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah bergerak dari Macau ke China semalam, dan sama ada ia menjejaskan sebarang kontrak perniagaan antara Malaysia dan China.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata pihak berkuasa di Kuala Lumpur menerima e-mel daripada pihak berkuasa Macau dua hari lepas (9 Julai) bahawa Jho Low sudah meninggalkan negara berkenaan tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Semalam, akhbar South China Morning Postmelaporkan seorang pegawai China dipetik menafikan Jho Low sudah meninggalkan Macau ke China.

Wisma Putra bantu PDRM

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sambutan Aidilfitri Wisma Putra di Putrajaya hari ini, Saifuddin bagaimanapun berkata kementerian menyerahkan perkara itu kepada kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjejaki Jho Low melalui standard protokol antarabangsa dan keselamatan mereka.

“Mereka (PDRM) adalah agensi yang mengetuai (proses itu) manakala Wisma Putra akan terus membantu usaha tersebut. Ini soal undang-undang, dan kita (Wisma Putra) akan bersedia dengan nasihat daripada pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mempunyai Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan negara-negara lain bagi membantu menahan Jho Low, Saifuddin berkata kementerian akan mematuhi nasihat daripada PDRM mengenai perkara tersebut.

Setakat ini, kedua-dua waran tangkap dan Notis Merah Interpol terhadap Jho Low sudah dikuatkuasakan. Dilaporkan Jho Low dan anggota keluarganya dibenarkan meninggalkan Hong Kong ke Macau kerana Singapura atau Malaysia tidak memohon penahanan terhadapnya secara rasmi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");